Terdapat tanda penurunan harga, rakyat jangan bayar lebih

Peningkatan harga makanan dan minuman di restoran dan hotel menjadi penyumbang utama mendorong kenaikan kadar inflasi dalam negara.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dalam usaha untuk mengawal inflasi pengguna perlulah lebih peka dengan perubahan harga barangan mentah supaya mereka tidak membayar lebih untuk makanan yang boleh didapati lebih murah.

Katanya, rakyat dan pengguna perlu memainkan peranan untuk bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan makanan demi mengawal inflasi.

Menurut beliau sesuatu produk dianggap “tidak anjal” oleh ahli ekonomi apabila walaupun mengalami kenaikan harga, pengguna tetap membelinya pada jumlah yang sama.

“Jika di peringkat pengguna itu sendiri tidak cakna akan penurunan harga, mereka akan terbiasa membayarnya dengan harga yang mahal.

“Justeru bila ada tanda penurunan harga, rakyat jangan bayar lebih

“Kita perlu pastikan semua pihak peka soal turun naik harga barang supaya bila ada penurunan kos, ia dapat diterjemah dengan cepat kalau tidak kita akan kembali kepada harga barang naik dan tak turun-turun
“Kalau kos input turun, sepatutnya harga akhir yang dibayar pengguna juga turun.
“Justeru bila ada tanda penurunan harga, rakyat jangan bayar lebih,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen pada 12 Januari 2023, iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain.
Platform ini katanya mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN). Data PriceCatcher yang diterbitkan merupakan data terkini dengan selang waktu satu hari.
“Kami perlukan bantuan dan kerjasaama orang ramai untuk memastikan 28 juta data harga barangan ini mula digunakan rakyat terbanyak untuk membantu kita sama-sama lebih peka turun naik harga.
“Ini supaya bukan sahaja kerajaan pantau harga barang secara makro tapi usaha itu juga kita sama-sama tanggung untuk pastikan kalau ada penurunana inflasi menyederhana, perkara itu akhirnya dapat diterjemahkan kepada harga barang yang dibayar pengguna,” ujarnya.
Rafizi memeriksa data ekonomi terkini sebelum sidang media
Tambah Rafizi, kerajaan berharap penerbitan Data PriceCatcher itu dapat membantu pengguna membuat keputusan lebih tepat dan jadikan permintaan anjal supaya kenaikan harga dapat dikawal.
Beliau berkata, kerajaan amat memerlukan tindak balas dari pengguna supaya mereka tahu tentang perubahan-perubahan harga dan tidak terus membayar sesuatu perkhidmatan dengan harga mahal.
“Kita perlu tumpukan tindak balas pengguna kerana ini satu-satunya cara untuk memastikan bahawa bila ada penurunan harga bagi komponen harga besar, ia akan dapat dilihat dengan cepat,” katanya lagi.
Rafizi turut memaklumkan beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang merangka strategi baharu sebagai quick win solution kepada isu kos sara hidup dan akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Â