Dana RM2 juta: Kerajaan bantu usahawan daftar harta intelek

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta di bawah Inisiatif Daya Kreatif.

Beliau berkata, kementeriannya akan membantu orang ramai mendaftarkan harta intelek bagi meningkatkan kedudukan Malaysia antara 20 negara teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global.

Salahuddin Ayub

Menurutnya, Daya Kreatif memberi tumpuan kepada pemain industri kreatif di negara ini menerusi fasilitasi pemerkasaan dan membangunkan kesedaran hak cipta.

“Dana berkenaan merangkumi pembiayaan yuran bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti penderafan paten.

“Ia diharap dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara,” jelasnya.

Salahuddin berkata demikian pada Majlis Pelancaran Daya Kreatif dan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 2023 di Dewan Serbaguna KPDN, di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa sama, bahagian penguat kuasa KPDN juga akan terus memantau dan mencegah aktiviti peniruan dan penciplakan terhadap harta intelek di negara ini.

“Ia bagi memastikan kelestarian aktiviti ekonomi domestik dan dalam masa sama meningkatkan keyakinan pelabur asing di Malaysia,” katanya.

MyIPO menawarkan Dana Pemfailan Harta Intelek pada 2016 hingga 2020 berjumlah RM2.5 juta, yang mana seramai 1,465 usahawan menerima manfaat tersebut.

Baca juga KDN sesak: 20 pejabat pengeluar pasport tambahan beroperasi mulai esok

Â