Jelajah Ehsan Rakyat bantu ringankan beban peningkatan harga

Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Selangor, anjuran kerajaan negeri dilihat terus mendapat sambutan hangat daripada masyarakat sehingga ke hari ini.

Tinjauan Harapan Daily (HD) di Taman Bukit Idaman, di Batu Caves mendapati rakyat daripada pelbagai kaum memenuhi kawasan parkir kereta untuk membeli barangan keperluan asas.

Antara barangan yang dijual adalah telur Gred B sepapan berharga RM10, minyak masak botol lima kilogram (RM25) beras lima kilogram (RM10) dan ayam standard (RM10) untuk seekor.

Penduduk di Pangsapuri Merak, S Muniamah, 54, ketika ditemui HD memuji inisiatif daripada Kerajaan Negeri Selangor yang dilihat membantu meringankan beban mereka.

S Muniamah cukup gembira dengan program Jelajah Ehsan Rakyat anjuran kerajaan negeri Selangor

“Kerajaan Selangor memang OK, dia bagi barang murah, rakyat pun boleh beli. Kerajaan negeri memang banyak bantu kami.

“Pada saya dengan adanya program seperti ini, ia memudahkan rakyat. Kami tak perlu keluar untuk beli barangan keperluan asas,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai pekerja pembersihan memberitahu bahawa dia membeli dua ekor ayam, beras dan telur untuk dimakan seisi keluarga.

Nur Ezzati Aizul secara perbandingan mendapati harga barangan di JER jauh lebih murah.

Seorang lagi penduduk, Nur Ezzati Aizul, 31, menyifatkan barangan basah yang dijual seperti ayam sememangnya segar.

“Tadi saya beli dua ekor ayam, memang ayam yang dijual ini segar. Harga pun memang murah. Senang cerita, program ini banyak membantu masyarakat.

“Barang-barang lain pun saya beli banyak sebab murah. Kalau nak dibandingkan dengan harga di luar, beli di pasar kira mahal juga, beza dalam RM4 hingga RM5,” ujar Ezzati yang bekerja sebagai jururawat.

Razali Wahab merupakan seorang lagi contoh penduduk yang mendapat manfaat dari usaha kerajaan pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari

Warga emas, Razali Wahab, 69, pula berpendapat inisiatif berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu penduduk, terutamanya dalam mendapatkan bekalan barangan keperluan asas.

“Alhamdulillah, dengan adanya program macam ini, kita dapat membeli hanya di depan rumah, tak perlu pergi jauh-jauh,” katanya.

Untuk rekod, siri JER yang diadakan hari ini adalah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Taman Templer yang diwakili oleh Sany Hamzan.

JER yang bermula tahun lalu dengan tujuan untuk menjual barangan asas pada harga yang lebih rendah daripada pasaran.

Ia adalah kesinambungan daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan. JER juga usaha kerajaan negeri untuk mendepani masalah kenaikan harga barang.

Menurut laporan media sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jualan murah barangan asas itu mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Katanya, program yang menyasarkan 800,000 penduduk turut disertai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah).

Untuk hari ini sahaja, sebanyak acara JER diadakan di sembilan Dewan Undangan Negeri iaitu di Taman Templer, Bukit Melawati, Sabak, Sungai Tua, Jeram, Meru, Hulu Kelang, Permatang dan Hulu Bernam. JER akan diadakan di kesemua 56 kawasan DUN.

BACA JUGA: Terdapat tanda penurunan harga, rakyat jangan bayar lebih

Â