Kalau sedekah, kenapa kena ikrar sokong Pas?

Selepas gagal membentuk kerajan di peringkat persekutuan walaupun mendakwa menang besar dalam PRU 15 lalu, Pas kini didepani dengan isu pengagihan wang kepada pengundi-pengundi ketika musim kempen.

Kontroversi ini tercetus setelah tiga bahagian Umno Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar kemenangan Pas di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana menurut dakwaan mereka, kerusi-kerusi tersebut dimenangi Pas atas sebab aktiviti merasuah pengundi.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila diminta mengulas tentang petisyen itu, bukan sahaja tidak menafikan perbuatan rasuah itu akan tetapi pertahankan aktiviti itu dengan berkata yang berasuah itu satu amalan sedekah!

Tambahan lagi, Presiden Pas itu berkata “Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia.”

Hujahan seperti ini amat merisaukan kerana ia mampu mengelirukan dan memesongkan masyarakat madani tentang peranan sedekah. ‘Sedekah’ dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud “pemberian kepada fakir miskin dan lain-lain dengan ikhlas”. Kata kunci yang perlu diberi perhatian ialah ‘ikhlas’ dalam memberi.

Persoalannya, di manakah keikhlasan dalam isu ini apabila pemberian duit itu diikat dengan janji sumpah untuk mengundi Pas – seperti mana yang ditayangkan dalam video yang tular?

Klik untuk tonton video

Umum mengetahui yang apabila kita menderma, kita tidak sesekali mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Tuhan Yang Maha Esa.

Masalahnya juga di sini, sosok ulama seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi ini patut lebih cakna daripada cuba menghalalkan perbuatan seperti memberi duit demi meraih undi. Negara kita berdiri atas tiang undang-undang yang sudah terang lagi bersuluh menyatakan perbuatan rasuah itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tidak harus diselindungi dengan kata-kata islami bagi memenangkan hati masyarakat.

Bukan sahaja Haji Abdul Hadi tetapi juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyatakan pemberian bergantung kepada niat sahaja. Jadi sudah tiba masanya rakyat menolak tipu daya parti Pas dan Perikatan Nasional yang kian menggunakan taktik agama hanya untuk memecahbelahkan rakyat.

Marilah kita berpegang kepada ayat-ayat suci Al-Quran “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid: 18)

BACA JUGA Puad gesa SPR, SPRM bertindak atas ‘sedekah’ Pas