Sultan, Majlis Agama Islam digesa tangani ‘pelampau agama’
Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menyerahkan memorandum memohon agar Sultan dan Majlis Raja-raja Melayu menangani sentimen pelampau agama yang dimainkan oleh pimpinan Pas kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI).
Pengarah Biro Mobilisasinya, Sany Hamzan berkata, memorandum ‘pelampau agama’ yang diserahkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu adalah bagi menggesa kerajaan bertindak secara proaktif dan mengambil langkah drastik dalam menangani isu tersebut.
“Pelampau-pelampau agama menggunakan ucapan pembohongan dan adu domba. Mereka lakukan untuk mengaut keuntungan dan sokongan undi khususnya dalam pilihan raya yang lalu.
“Sebab itu, kita mahu kerajaan pada hari ini, melalui badan-badan penguasa untuk mengambil tindakan sesegera mungkin,” katanya ketika ditemui Harapan Daily pagi ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Biro Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian selepas menyerahkan memorandum tersebut di Istana Alam Shah, Klang.
Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, pelampau dan pemuka agama yang menggunakan ucapan hasutan dan kebencian boleh menguggat keharmonian Malaysia.
Terdahulu, Abdul Hadi disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan Ahli Parlimen Marang itu yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Dalam masa sama, tambah Sany, rakyat juga perlu menolak amalan politik sempit dan fitnah bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini terjamin.
“Ucapan-ucapan mereka ini (pelampau agama) adalah ucapan yang sangat berbahaya kepada kepelbagaian kaum di Malaysia.
“Kita mahu rakyat menilai, adakah ini pemimpin yang kita angkat untuk negara Malaysia?”, ujarnya lagi.
Baca juga ‘Kutip’ masuk lokap pemfitnah Malaysia Madani