Mahathir tidak boleh ‘pukul rata’ rasuah pengundi

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh membuat kenyataan ‘pukul rata’ hanya kerana perlakuan segelintir pemimpin politik yang merasuah pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar menyangkal tohmahan bekas Perdana Menteri itu dengan menyifatkan kenyataan seumpama ini adalah tidak adil bagi wakil rakyat yang berkempen secara sihat sepanjang PRU tahun lalu.

“Saya berpandangan bahawa beberapa perkara mesti diambil kira dengan teliti dan tertib sebelum membuat penilaian yang terlalu umum dan bersifat ‘pukul rata’ seperti itu.

“Setiap petisyen pilihan raya yang difailkan bagi sesuatu kerusi Parlimen perlu disiasat dan berapa banyak petisyen yang telah dihantar perlu diambilkira.

“Dekat situ kita boleh lihat kenyataan Mahathir ini sama ada benar atau tidak,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, dalam kenyataan semalam, Mahathir menyifatkan PRU15 sebagai pilihan raya yang paling korup dalam sejarah.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata demikian kerana menurutnya, kesemua calon yang memenangi PRU15 adalah disebabkan rasuah yang diberikan kepada para pengundi.

Tambah Onn, tahap korupsi bagi sesuatu perjalanan kempen pilihan raya boleh dilihat menerusi kawasan yang diadu berserta bukti dan saksi.

“Nak kata korup kena bergantung kepada kawasan-kawasan Parlimen di mana aduan atau petisyen pilihan raya telah dibuat.

“Tak semua kawasan Parlimen itu berkelakuan ‘kotor’ dan rasuah,” ujarnya lagi.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan Umno Terengganu telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Baca juga SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah