Pas jangan cuba ibadahkan jenayah

Pimpinan Pas yang menganggotai blok Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan supaya tidak cuba untuk mengibadahkan jenayah melalui kenyataan dan dakwaan yang menyimpang daripada tuntutan agama Islam.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam Islam rasuah merupakan jenayah berat termasuklah kepada pelakunya sama ada yang memberi atau pun yang menerimanya.

“Atas keperluan politik, menghalalkan rasuah dengan menjenamakannya sebagai sedekah adalah suatu perbuatan yang jijik sama ada dalam Islam mahu pun undang-undang komersial.

“Jenayah yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini dan telah tular video pemberian rasuah tersebut memperlihatkan adanya cubaan mencuri kuasa atas nama agama.

“Lebih mendukacitakan setelah episod kleptokrasi mencuri wang negara, kini muncul pula episod perompak dengan menggunakan agama bagi menghalalkan cara,” katanya ketika dihubungi.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, rasuah yang dilabelkan sebagai sedekah menjelang PRU15 amat memalukan institusi agama apatah lagi yang menunggangnya adalah mereka yang berstatus agamawan serta mempunyai kedudukan tinggi dalam politik.

Sementara itu, Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas mencatatkan takrifan yang ketara bahawa apa saja yang dilakukan secara lngsung atau tidak langsung, atau calon sendiri yang memberinya atau ia diberi wakilnya tidak menjadi perkiraan.

Yang jelas sedekah atau sumbangan itu adalah rasuah yang diberi kepada pengundi tanpa mengambil kira pengundi memintanya atau pun sebaliknya.

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa agihan wang tunai kepada pengundi semasa PRU15 merupakan sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya mengundang kecaman orang ramai.

Kata Mahfuz lagi, tindakan SPRM menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan rasuah tersebut adalah suatu tindakan bijak yang amat dialu-alukan.