Pastikan simpanan KWSP cukup untuk pesaraan

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung mahu pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menyimpan wang dan bukannya mengeluarkan wang untuk hari tua memandangkan pengeluaran berterusan umpama membunuh angsa bertelur emas.

“Ianya bukan sahaja melepaskan peluang untuk menambahkan aset pencarum, malah juga memerlukan antara 3 hingga 5 tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal. Saya berpendapat lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk mencukupkan caruman apabila jutaan pencarum kita mencapai umur persaraan. ,” kata Lee.

Beliau berkata begitu memandangkan 51.5% pencarum bersamaan 6.67 juta ahli KWSP tidak mempunyai simpanan kurang dari RM10,000.

Banyak pihak yang menyeru agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP sehingga maksima RM30,000 untuk membantu rakyat mengatasi masalah kesempitan wang dalam era pasca Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, walau bagaimanapun lebih cenderung untuk mencari kaedah lain dan bukannya membenarkan pengeluaran wang tersebut.

Pentadbiran terdahulu telah meluluskan pengeluaran wang maksima RM10,000 oleh pencarum melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Lee turut mencadangkan tiga kaedah untuk mengatasi kekurangan simpanan dalam kalangan pencarum.

Kaedah pertama ialah pelaksanaan dividen bertingkat. Dividen tertinggi diberikan kepada caruman simpanan RM50,000 yang pertama, simpanan asas RM50,000 hingga RM240,000 dan RM240,000 ke atas.

Kaedah kedua yang dicadangkan ialah peningkatan mandat pelaburan luar. Pulangan pelaburan antarabangsa yang dicapai KWSP pada 2021 ialah 8.64 peratus berbanding pulangan pelaburan tempatan pada kadar 5.02%.

Beliau turut mencadangkan kaedah ketiga iaitu pengehadan jumlah pengeluaran pencarum berdasarkan jumlah caruman dan keperluan persaraan. Pada masa sekarang, pencarum boleh mengeluarkan keseluruhan caruman apabila mencapai umur 55 tahun.