Pemimpin Pas kena ‘sekolah’ dengan penterjemah buku

Tindakan seorang pemimpin Pas yang dilihat cuba menyerang gagasan Malaysia Madani nampaknya hanya mengundang sindiran orang ramai termasuk penterjemah buku.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Riduan Mohd Nor menasihatkan golongan muda supaya ‘baca sikit’ buku bertajuk, Suatu Karangan Berkenaan Bidang Asal dan Sebenar serta Matlamat Kerajaan Madani.

Dia berpendapat jerat ‘kekaguman’ dapat dielak apabila membaca buku terjemahan daripada pemikiran ahli falsafah Barat, John Locke itu.

Walaupun tidak dinyatakan ‘kekaguman’ terhadap apa atau siapa, Riduan dilihat menujukan kepada gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Baca sikit anak-anak muda sebelum kekaguman menjerat kalian,” katanya ringkas sambil berkongsikan muka depan buku terbitan Institut Kajian Dasar dan Konrad Adenauer Stiftung itu.

Untuk rekod, Anwar pada 19 Januari lalu telah menyampaikan amanat bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’ dan melancarkan buku atas tajuk sama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Buku ‘Membangun Negara Madani’ yang diterbitkan Institut Darul Ehsan (IDE) itu mencerakinkan mengenai nilai tatanan pemerintahan yang baik untuk rakyat dan negara.

Dalam masa sama, karisma kepimpinan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu sejurus mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri juga mengundang fenomena kekaguman orang ramai tidak terkecuali golongan muda seperti tersebar di pelantar sosial.

Susulan hantaran Riduan di Facebook yang berbaur sindiran itu, penterjemah buku terbitan tahun 2009 tersebut, Dr Khairul Anam tampil secara sinis memberi penjelasan.

“Kerajaan Madani tu PMX (PM ke-10) tiru saya. Sayalah yang pertama mula ternombor satu guna istilah Kerajaan Madani.

“Tajuk buku tu saya yang bubuh lagu (macam) tu. John Locke guna istilah civil government yang biasa diterjemah sebagai Kerajaan Sipil. Khalas! Done claim,” tulis ahli akademik itu diakhiri dengan emoji ketawa.

Sementara itu, ruangan komentar dalam hantaran Riduan turut dibanjiri kecaman yang antara lain memintanya supaya baca terlebih dahulu buku ‘Membangun Malaysia Madani’.

Ada juga bimbang melihatkan cara pemikiran pemimpin Pas yang dilihat cuba menakut-nakutkan masyarakat dengan naratif yang merosakkan.

“Bahaya Pas ni, bawa zaman kegelapan, ditakut-takutkan kita dengan buku yang dia sendiri tak faham,” komen pengguna Facebook, Izzeady Amir.

Malah, kecenderungan seolah-olah cuba mengaitkan agenda konspirasi tertentu di sebalik gagasan negara madani yang ditekankan oleh Anwar juga dilihat bercanggah dengan pendirian Pas.

Sebelum ini, presiden parti yang menganggotau blok Perikatan Nasional (PN) itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menyebut tentang hasrat membangunkan masyarakat madani.

Baca juga ‘Kutip’ masuk lokap pemfitnah Malaysia Madani