PN mainkan politik perkauman bukannya bela isu rumah rakyat

Pakatan Harapan (PH) Terengganu mempertikaikan tindakan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang sering memainkan isu politik perkauman tanpa memikirkan masa depan rakyat yang perlu pembelaan untuk memiliki rumah mampu milik.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, tuduhan sempit serta melulu daripada Pas dan Bersatu amat berbaur perkauman semata-mata untuk meremeh dan menggagalkan penyelesaian masalah perumahan mampu milik golongan M40 dan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu.

Katanya, isu perumahan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merujuk kepakaran Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura adalah langkah positif bagi menyelesaikan masalah golongan yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman mampu milik yang selesa.

“Apabila Menteri KPKT mengumumkan akan menggunakan kepakaran perunding HDB Singapura bagi membantu KPKT mengatasi masalah perumahan Malaysia, bagai hendak runtuh langit kritikan politik dari Pas dan Bersatu menuduh adanya agenda perkauman dan penindasan orang Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raja Kamarul turut mempersoalkan prestasi PN sebelum ini sewaktu menjadi kerajaan yang gagal menyelesaikan permasalahan rakyat termasuk isu pemilikan rumah.

“Apakah usaha mereka (PN) di bawah dua Perdana Menteri, Mahiaddin Yasin dan Ismail Sabri di bawah kerajaan PN sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini?

“Mengapakah mereka takut jika Kerajaan Perpaduan boleh mengatasi isu ini yang mereka tidak pun mahu memulakan semasa PN memerintah?” bidasnya.

Majoriti rakyat berdepan masalah untuk memiliki rumah mampu milik.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, rakyat Malaysia akan menjadi maju sekiranya terdapat ahli politik yang matang, progresif, tidak berfikiran sempit dan negatif sehingga sering mencetuskan sentimen perkauman.

Tambahnya, orang Melayu akan mendapat lebih banyak manfaat jika sistem perumahan HDB berjaya dilaksanakan dengan kos yang lebih murah disertai dengan faktor sosial ekonomi yang positif.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dilapor mahu membawa masuk pakar daripada HDB Singapura.

Beliau mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan hadapan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berpendapat langkah tersebut dapat dijadikan contoh kerana Malaysia mempunyai banyak persamaan dengan negara jiran di republik itu.

“Antara yang paling sesuai dan praktikal adalah sistem perumahan HDB Singapura kerana banyak persamaan profil etnik masyarakat, cuaca dan sistem pembinaan yang digunakan.

“Sistem perumahan HDB Singapura adalah di antara yang terbaik di seluruh dunia dan diakui oleh banyak negara.

“HDB juga telah memenangi banyak anugerah utama antarabangsa dan kecemerlangan mereka diakui negara Barat dan Jepun,” ujar arkitek itu lagi.

Baca juga Pemuda PN mohon maaf hina PM Anwar