Ringgit paling kukuh semalam dalam tempoh 9 bulan

Ringgit Malaysia mencatatkan nilai yang paling kukuh sejak sembilan bulan lalu apabila mencatatkan RM4.27 berbanding USD 1 semalam.

Kadar tukaran Ringgit berbanding Dollar Amerika paling teruk pada 7 November 2022 iaitu RM4.748 berbanding USD 1 dan menurun selepas itu apabila kerajaan bertukar.

Keyakinan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipercayai sebagai faktor paling utama dalam pengukuhan nilai Ringgit itu.

Nilai Ringgit juga meningkat tinggi berbanding Dollar Singapura selepas pertukaran kerajaan berlaku.

Dalam masa yang sama, kadar inflasi juga mencatatkan kadar lebih rendah berbanding sebelum ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar inflasi di negara ini mampu kembali ke paras normal sebelum ini iaitu sekitar lebih dua peratus berdasarkan petanda baik apabila ia reda pada bulan lalu.

Kadar inflasi pada Disember 2022 reda apabila turun kepada kepada 3.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya, malah ia juga lebih rendah berbanding bulan-bulan sebelumnya, kata beliau.

“Semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) menyederhana kecuali komponen restoran dan hotel dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

“Peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutamanya di restoran dan hotel adalah penyumbang utama kepada kadar inflasi,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, semalam.

Rafizi menambah, kadar inflasi Malaysia pada tahun 2022 adalah 3.3 peratus dan ia selari dengan unjuran Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2023.

 

BACA JUGA Pertemuan dengan pelabur tingkat keyakinan ekonomi, Ringgit meningkat

JUGA Pelabur Eropah, USA, China dan India sudah dalam senarai, kata PM