Tolak fahaman sempit, perkasakan Rukun Negara

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menegaskan bahawa pemerkasaan semangat Rukun Negara perlu dihadami oleh setiap rakyat bagi menunjukkan rasa cinta pada negara.

Menurutnya, fahaman sempit dan perkauman mesti ditolak sama sekali kerana dibimbangi menganggu gugat keamanan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Sebab itu kita minta sangat kepada kerajaan yang ada pada hari ini supaya memperkasakan semangat Rukun Negara.

“Rukun Negara ini perlu kita gagaskan, perkasakan dan sematkan dalam setiap kehidupan rakyat Malaysia kerana kita cinta dan sayangkan negara kita ini,” katanya.

Kerajaan Perpaduan digesa menangani sentimen melampau yang dimainkan oleh Pas.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas yang mendakwa institusi agama akan terancam jika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum ‘pelampau agama’ kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) di Istana Alam Shah, Klang.

Turut hadir Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa AMANAH mengecam sekeras-kerasnya isu pembakaran al-Quran di Stockholm dan akan menyerahkan memorandum di Kedutaan Sweden bersama NGO yang terlibat.

“Esok kita akan bersama dengan NGO-NGO untuk menyerahkan memorandum di Kedutaan Sweden pada jam 10.30 pagi dalam himpunan dan bantahan kita kepada kerajaan Sweden tentang apa yang telah berlaku (isu pembakaran al-Quran),” tegasnya.

Pada 22 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit bagi mengelakkan Islamofobia di negara berkenaan.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang-kali yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia,” kata Anwar.

Baca juga Kerajaan Perpaduan digesa proaktif tangani ‘pelampau agama’