Berpuluh tahun Malaysia ‘import’ kepakaran luar, kenapa sekarang jadi isu?
Bekas Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah hari ini membidas tuduhan yang mendakwa Malaysia ketandusan pakar tempatan ekoran keputusan kerajaan ‘mengimport’ pakar daripada agensi perumahan Singapura bagi menyelesaikan isu berkaitan perumahan di negara ini.
Beliau berkata, sejak puluhan tahun dahulu Malaysia telah mengamalkan penggunaan khidmat kepakaran asing dan ‘perunding luar’ bagi projek-projek mega seperti pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Tun Razak Exchange (TRX) untuk menambah baik pencapaian dan kualiti.
Katanya, ia tidak pernah dijadikan kontroversi, namun isu perumahan pula sengaja diperbesarkan di mana ia sebenarnya berpotensi menggagalkan usaha kerajaan untuk membolehkan lebih ramai golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.
“Bantuan pengurusan, kontrak dan teknikal dari Jepun, Korea, negara barat dan China juga pernah dilakukan tetapi mengapa apabila Singapura terlibat ia sengaja dijadikan kontroversi?
“Cadangan mengambil khidmat nasihat dari HDB untuk mendapat contoh nasihat yang baik sepatutnya di alu-alukan untuk membantu KPKT membolehkan harga unit ini mampu dimiliki golongan M40 dan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama Raja Kamarul meyakini, pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari dari Singapura kerana walaupun kos pembinaan dan kos sara hidup Singapura adalah tinggi sekitar 90 peratus, namun rakyat mereka memiliki unit kediaman sendiri dari usia muda lagi.
Menurutnya, bantuan kepakaran luar itu sendiri akan menambahkan ilmu dan pencapaian KPKT seperti yang pernah dilakukan melalui ‘transfer of technology and knowledge’ dengan negara Jepun dan negara barat sejak puluhan tahun dahulu lagi.
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu itu turut menyarankan agar kerajaan Kelantan yang dipimpin Pas untuk menimbang meminta bantuan kepakaran luar memandangkan masalah air tercemar puluhan tahun tidak ditangani dengan baik sehingga hari ini rakyat yang terus merana.
“Kalau di bawah dua Perdana Menteri lalu iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Islmail Sabri tidak bersungguh sungguh dan berkemampuan menyelesai isu perumahan rakyat, jangan pula memfitnah dan cuba sabotaj usaha pihak Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan yang berazam mengatasi masalah perumahan mampu milik untuk rakyat.
“Semua rakyat wajib memiliki unit kediaman asas terutamanya golongan kurang mampu dan usaha ini akan lebih banyak menguntungkan orang Melayu sendiri termasuk mereka yang tinggal di negeri majoriti Melayu di Kelantan dan Terengganu yang merupakan di antara negeri termiskin di Malaysia,” katanya lagi.
Baca juga: ‘Mohon maaf dalam tempoh 3 hari atau kami boikot’
Â