Buktikan gelombang hijau hanya mitos dalam PRN
OLEH: LIM KIT SIANG
Dengan penubuhan “kerajaan perpaduan” di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, rakyat Malaysia dapat menyambut Tahun Baru Cina dengan harapan yang Malaysia dapat menjadi lebih baik pada hari esok — lebih adil, lebih saksama, lebih makmur, dan kurang korup, kurang pencabulan hak asasi manusia, dan kurang mempunyai skandal.
Semua rakyat Malaysia mahukan negara yang lebih adil, lebih saksama, lebih makmur, kurang korup, kurang pencabulan hak asasi manusia, dan kurang berskandal dan mereka mahu kerajaan perpaduan Anwar untuk bertahan selama satu penggal penuh lima tahun untuk memulakan proses untuk mencipta sebuah Malaysia baharu — tetapi tidak ada jaminan Malaysia Baharu ini dapat direalisasikan kerana kerajaan perpaduan Anwar boleh ditumbangkan sebelum lima tahun — seperti yang berlaku kepada kerajaan Pakatan Harapan melalui konspirasi politik Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 selepas 22 bulan mentadbir.
Ujian getir yang akan menentukan sama ada akan ada Malaysia Baharu dan sama ada kerajaan Anwar dapat bertahan selama lima tahun adalah pilihan raya umum — Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu — yang bakal berlangsung di enam negeri dalam tahun ini.
Satu cara untuk membuktikan bahawa “gelombang hijau” adalah satu mitos dan masa hadapan ada dengan kerajaan perpaduan adalah untuk Pakatan Harapan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam enam pilihan raya negeri berbanding dengan prestasi dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Dalam Pilihan Raya Umum 2018, Pakatan Harapan menenangi 37 dari 40 kerusi di Pulau Pinang, 51 dari 56 kerusi di Selangor, 20 dari 36 kerusi di Negeri Sembilan, 18 dari 36 kerusi di Kedah, dan sifar kerusi di kedua-dua Kelantan dan Terengganu yang masing-masing ada 45 dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Angka ini mengira bersama angka yang dimenangi Bersatu semasa parti tersebut merupakan sebahagian dari Pakatan Harapan dalam PRU 2018, dan sekiranya Pakatan Harapan dapat mengekalkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi, termasuklah kerusi-kerusi yang dimenangi Bersatu sebelum ini, kemenangan ini akan menjadi lebih besar dan bermakna.
Kemenangan ini akan menunjukkan dengan jelas yang fenomena “gelombang hijau” yang sepatutnya terjadi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 adalah satu mitos dan masa hadapan berpihak kepada sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif, yang menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk membina sebuah Malaysia Baharu yang terkenal sebagai sebuah negara hebat.
Semua rakyat Malaysia yang mahu melihat harapan Malaysia Baharu mereka tercapai perlu melakukan apa sahaja yang terdaya untuk memastikan kemenangan yang lebih besar bagi kerajaan perpaduan Anwar dalam pilihan raya umum di enam buah negeri yang akan datang.
Penulis ialah pemimpin veteran DAP dan mantan ahli parlimen Iskandar Puteri.
BACA JUGA: Nyatakan pendirian secara jelas, Hadi Awang