KETUHAR dapat sambutan hangat, menteri pun sertai

Usaha seorang netizen untuk memberitahu orang ramai kedai apa yang menurunkan harga barangan atau perkhidmatan mereka hari ini (KETUHAR) telah mendapat sambutan hangat sehinggakan menteri juga menyertainya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menyertai kumpulan ini dan membuat komen beliau.

“Saya ada menerima pesanan daripada rakyat yang membuat inisiatif Komuniti Kedai Apa Turun Harga Hari Ini.

“Saya menyambut baik inisiatif ini yang memudahkan rakyat menilai harga semasa barang keperluan di pasaraya tempatan.

“Sila join dan share kedai apa yang turun barang di kawasan anda. Kita sama-sama pantau,” tulis Salahuddin dalam posting beliau lewat malam tadi.

Dalam pada itu, kumpulan “Kedai Apa Turun Harga Hari Ini (KETUHAR)” telah mendapat sambutan hangat di kalangan aktivis media sosial dengan memasukkan maklumat kedai yang menjual barangan dengan harga yang lebih murah.

Gerakan ini adalah gerakan komuniti. Sejuta kilometer tetap bermula dengan langkah pertama, katanya pengasas KETUHAR, Najib Bakar.

Pengasas dan pentadbir kumpulan, Najib Bakar berkata, matlamat utama group ini adalah untuk memberi satu kaedah pemasaran kepada kedai-kedai yang mahu menurunkan harga makanan/barangan seiring dengan penurunan kadar inflasi dan pengukuhan nilai ringgit.

“Kita akan bantu viralkan kedai-kedai mereka. Untuk makluman tuan puan, tidak semestinya restoran atau gerai makanan. Boleh jadi apa sahaja kedai yang menurunkan harga.

“Gerakan ini adalah gerakan komuniti. Sejuta kilometer tetap bermula dengan langkah pertama.

“Terima kasih kepada tuan puan yang sudi join. Silakan menyumbang posting untuk manfaat kita bersama,” kata beliau.

Melalui kumpulan, orang ramai boleh mengetahui kedai mana di kejiranan mereka yang menurunkan harga barangan masing-masing.

Selepas dilancarkan, pelbagai maklumat dikongsikan ahli kumpulan ini tentang kedai dan barangan yang dijual dengan lebih murah atau harga diturunkan.

Telur di Lotus Kota Masai, Johor dijual dengan harga RM12.30 sepapan.

Matt Kamaruddin melaporkan, Lotus Kota Masai, di Pasir Gudang, Johor menjual telur dengan harga RM12.30 sahaja untuk satu papan telur gred C.

Beliau juga berkongsi harga ayam di pasaraya Lotus lebih murah iaitu RM7.99 sahaja per kilogram namun beliau tidak sebutkan Lotus cawangan mana.

Hazlin Mohamed pula melaporkan, hari Jumaat biasanya bermula promotion di Econsave.

“Hari ni biskut tawar dan biskut gula Julies murah dari biasa,” kata beliau namun tidak menyatakan Econsave di mana.

Ayam di SegiFresh hanya dijual dengan harga RM8.40 sahaja sekilogram.

Shahrul Naduan Hamidon pula melaporkan kepada kumpulan ini, ayam segar hanya dijual dengan harga RM8.40 sahaja sekilo di pasaraya Segi Fresh dan harganya menjadi RM8.20 sahaja sekilo jika dibeli tiga ekor ke atas.

Namun beliau tidak menyatakan di cawangan mana yang menjual harga berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mencadangkan orang ramai agar membelibelah di kedai yang menjual barangan dengan harga yang lebih murah.

Namun beliau dikecam oleh netizen yang marah kerana tidak ada mekanisma yang membolehkan mereka tahu kedai mana yang menjual barangan lebih murah.

 

LAPORAN BERKAITAN

Rakyat Malaysia buat kempen sokong kedai yang turunkan harga

Jelajah Ehsan Rakyat bantu ringankan beban peningkatan harga