PN goncang Pulau Pinang?: ‘Biarkan dia dengan angan-angan’

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng secara berseloroh menganggap keyakinan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dapat ‘menggoncang’ Pulau Pinang hanya sebagai angan-angan.

Ahli Parlimen Bagan tersebut turut menggambarkan kenyataan pemimpin yang digugurkan keahliannya daripada Umno itu ibarat si luncai terjun dengan labu-labunya.

“Biarkan si labu dengan… biarlah biar…kalau dia nak (goncang Pulau Pinang) biarlah dia dengan dia punya angan-angan dia,” ujarnya.

Shahidan Kassim

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang di Georgetown, malam tadi.

Kelmarin, Shahidan berkata PN mempunyai strategi tertentu untuk merampas tiga negeri yang pada masa ini dikuasai Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menerusi hantaran berbentuk klip video di Facebook, Shahidan yakin blok pembangkang itu mempunyai strategi tertentu untuk ‘menggoncangkan’ Pulau Pinang selain dapat menawan Negeri Sembilan dan Selangor.