Malaysia Madani: Hadi VS Anwar, satu komentar

Oleh: Nik Abdul Aziz Nik Hassan

ULASAN: Kesimpulan ringkas yang dapat kita ambil dari Facebook Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang berhubung ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang masyarakat Madani adalah sebagaimana berikut;

Beliau bimbang perkataan Madani yang diguna pakai oleh Perdana Menteri tidak mengikut acuan al-Quran dan Sunnah. Beliau juga bimbang maksud masyarakat Madani Perdana Menteri boleh membawa ke arah maksud dan pandangan tokoh-tokoh pemikir Barat silam seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Adam Smith, Karl Marx dan lain-lain.

Pandangan-pandangan demikian kata beliau sekiranya direalisasi dalam masyarakat dan negara akan membawa ciri-ciri negatif yang bercanggah dengan semangat al-Quran.

Madani untuk tatakelola baik

Sebaliknya apabila kita menghalusi dan menelusuri ucapan PM, nampak nyata masyarakat Madani yang beliau utarakan mampu membawa aspek-aspek positif dalam masyarakat dan negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Lebih-lebih lagi dalam konteks kini yang serba kecundang, meleset dan bobrok dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Apa yang ditekankan dalam ucapan PM berhubung dengan masyarakat Madani baru-baru ini ialah ke arah pembentukan sebuah tamadun dan nilai peradaban yang tinggi ilham daripada semangat Piagam Madinah zaman Rasulullah SAW yang membawa keluhuran diri dan keluarga ke arah kekuatan kehidupan ummah dan masyarakat manusia secara keseluruhannya.

Dalam konteks Madani kini ia membawa maksud ke arah pembangunan politik, ekonomi, teknologi dan digital yang berteraskan kepada faksi budaya dan moral yang tinggi berasaskan kepada prinsip kemuliaan hati dan budi.

Untuk merealisasikan prinsip di atas ini beliau menganjurkan satu sistem tata kelola yang baik dalam pengurusan Negara dan masyarakat, ke arah membina democratic governance dan accountable democratic governance ke arah membasmi kemiskinan, menekankan kepada aspek kemanusiaan yang tinggi yang terdapat dalam semua agama mengikut pegangan bangsa, etnik dan komuniti masing-masing, menentang segala bentuk amalan rasuah dan segala amalan negatif masyarakat dengan tujuan untuk membangkitkan kembali kekuatan leluhur bangsa dan nilai murni yang sudah ada dalam sejarah peradaban bangsa masing-masing. Sudah tentu masyarakat yang mendukung nilai-nilai demikian akan mengutamakan prinsip kebenaran, keadilan dan kasih sayang dalam kesemua aspek kehidupan termasuk aspek membasmi kemiskinan.

Dan sudah tentu juga dengan ujudnya nilai-nilai demikian akan membawa natijah kepada wujudnya pemerkasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial.

Tidak bercanggah al Quran

Persoalannya apakah nilai-nilai dan ciri-ciri di atas yang dikehendaki oleh PM ini bercanggah dengan jiwa al-Quran? Berasaskan kepada pandangan seorang ulama reformis yang dikenali dengan Shah Waliullah Dehlawi di India dalam permulaan abad ke-18 dalam sebuah kitab magnum opus beliau yang bertajuk Hujatullah al-Balighah beliau menekankan peri pentingnya seseorang individu menghayati jiwa akhlak al-Quran. Maksud jiwa akhlak al-Quran ialah prinsip Akhlak Arbaa yang berkait dengan pertama Taharah, kedua Ikbaq, ketiga Samahah dan puncaknya ialah yang keempat, Keadilan secara komprehensif. Bagi Shah Waliullah, falsafah Akhlak Arbaa inilah yang sepatutnya dijiwai oleh tiap-tiap individu manusia demi keselamatan hidup di dunia dan di akhirat.

Jiwa akhlak al-Quran ini sekiranya dapat mendominasi jiwa budaya sesuatu masyarakat dan bangsa mampu membentuk sebuah masyarakat yang mengutamakan prinsip kebenaran keadilan dan kasih sayang. Sesungguhnya mengikut semangat al-Quran budaya demikianlah sepatutnya menjadi teras kepada sebarang bentuk pembangunan yang bersifat material di bumi ini demi pembangunan dan kemajuan hidup masyarakat manusia. Atas pengertian di atas ini apabila PM meletakkan prinsip akhlak dan moral yang mulia yang berasaskan kepada karamah insaniah sebagai teras kepada kesemua bentuk pembangunan negara maka pada saya nyata pendekatan falsafah madani tetap berada dalam maksud acuan al-Quran dan Sunnah.

Walau apa pun yang diperkatakan tentang Madani ini kita harap komentar Haji Hadi ini boleh mencetus dan merintis jalan ke arah wujudnya polemik dan diskusi yang sihat dalam masyarakat kita nanti, khususnya di institusi-institusi dan pusat-pusat pengajian tinggi.

Sebagai penutup saya ingin memuatkan sebuah hadis yang membawa maksud dan boleh menjadi pedoman kepada kita bersama demi perpaduan dan persaudaraan. “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari No: 5604)

_____________________________________________________________________________

Penulis merupakan Mantan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan
Universiti Kebangsaan Malaysia juga mantan Ketua Perhubungan Parti Keadilan Nasional Kelantan

 

BACA JUGA 10 Setiausaha Politik menteri Kabinet angkat sumpah jawatan