Sebelum serang Menteri buat ‘homework’ dulu – Razeef Rakimin

Pihak yang tidak berpuas hati dengan prestasi Menteri Kerajaan Perpaduan seharusnya membuat homework terlebih dahulu sebelum melakukan serangan.

Hal itu dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Penerangan PKR Malaysia, Razeef Rakimin berhubung serangan pembangkang ke atas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang tersasar daripada sasaran.

Menurut Razeef, mempertikaikan Menteri Ekonomi di atas isu harga telur atau harga keperluan harian tentu sekali menunjukkan pihak yang mengkritik tidak faham tugas kementerian.

“Saya melihat serangan yang beliau hadapi hanyalah kerana kelantangan beliau sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

“Namun adakah serangan yang beliau hadapi hari ini benar benar berkaitan kegagalan beliau sebagai Menteri Ekonomi?” tanyanya dalam satu kenyataan.

Kata Razif, sekiranya rakyat membaca kenyataan beberapa agensi penyelidik atau pakar ekonomi, kebanyakan mereka berpendapat Rafizi berjaya dalam tempoh 50 hari sebagai Menteri mengikut skop tugasan.

Malah katanya, Menteri Ekonomi itu jelas mengajak rakyat Malaysia keluar daripada inflasi dengan melihat kepada indeks harga pengguna sebagai rujukan harga barang semasa.

Begitu juga idea bagaimana pengusaha pertanian tempatan dapat meluaskan pasaran, seterusnya mengurangkan kebergantungan import sekaligus membantu memperkukuhkan ekonomi petani yang boleh mengawal inflasi selain memastikan keterjaminan makanan.

“Namun apa yang saya lihat, komen ke atas beliau hanya menagih ‘formula’ untuk menurunkan harga barang walaupun pelan yang Rafizi maklumkan merupakan langkah awal dalam usaha menurunkan harga serta memastikan keterjaminan makanan,” katanya.

Bagi Razeef serangan secara membabi buta oleh pihak yang ‘sakit hati’ terhadap Rafizi itu menyebabkan mereka tidak melihat kejayaan awal dalam mengawal inflasi

Katanya, lebih baik pembangkang melihat kadar semasa tukaran matawang negara yang mengukuh berbanding Dollar Amerika Syarikat sebelum menyambung kritikan.

“Sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi boleh sahaja bercerita tentang projek-projek mega atau penurunan inflasi, bercerita matawang Malaysia makin kukuh berbanding Dollar atau bercerita berkenaan kejayaan Kementerian Ekonomi mengurangkan bebanan ekonomi yang dibuat kerajaan PN dahulu.

“Namun beliau memilih isu yang dekat dengan rakyat, iaitu kos sara hidup kerana ia memberikan kesan besar terhadap rakyat marhaen.

“Beliau ketepikan kritikan dan hinaan asalkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan ini rakyat merasa hasilnya apabila ekonomi semakin mengukuh dan harga barang keperluan asas mulai turun,” katanya lagi.

BACA JUGA Tiada krisis minyak masak, bekalan mencukupi di pasaran – Salahuddin