Kekosongan jawatan exco NS akan diputuskan minggu depan

Kekosongan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan yang sebelum ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J Arul Kumar, sama ada perlu diisi atau tidak akan diputuskan pada minggu depan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Pengerusi DAP negeri merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan dibawa untuk diperkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan bincang dengan pengerusi DAP negeri (Loke). Mungkin ada yang memangku (jawatan itu) atau mungkin ada yang baharu, kita akan bawa untuk perkenan Tuanku dan maklum ada exco letak jawatan, apa jua tindakan akan dimaklumkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kad Anak peringkat negeri di sini hari ini.

Arul Kumar melepaskan jawatan berkenaan selepas dilantik sebagai setiausaha politik Menteri Pengangkutan Anthony Loke bermula 27 Jan lepas dan pelantikan itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arul Kumar merupakan ADUN Nilai sejak Mei 2013 selain berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan sejak 2018.

— BERNAMA

BACA JUGA: Exco NS dilantik setiausaha politik Menteri Pengangkutan