Kualiti perkhidmatan lemah: KPDN panggil semua syarikat telekomunikasi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memanggil semua syarikat besar telekomunikasi bagi mengenal pasti punca kekurangan mutu perkhidmatan yang disediakan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kesemua syarikat itu akan dipanggil pada minggu hadapan untuk sesi libat urus.

Beliau berkata, pihaknya kini menerima banyak aduan daripada pengguna yang masih lagi tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan disediakan syarikat telekomunikasi.

“Contohnya, saya sendiri mengakui saya menggunakan (pelanggan) salah satu syarikat telekomunikasi di negara ini. Apabila membuat panggilan, terdapat gangguan seperti percakapan tidak jelas. Mutu disediakan sangat rendah.

“Jadi, saya sendiri telah merasai ‘mutu perkhidmatan’ itu hampir dua tahun. Kami turut menerima aduan daripada pengguna tentang syarikat-syarikat yang lain dari segi mutu kelajuan jaringan Internet Tanpa Wayar (Wifi) dan juga kualiti panggilan telefon.

“Jadi atas tanggungjawab itu, saya akan memanggil semua syarikat besar telekomunikasi ini untuk sesi libat urus supaya masalah dapat dikenal pasti,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Sepang, semalam.

DS Salahuddin dalam sambutan Tahun Baharu Cina di Parlimen Sepang

Beliau berkata demikian kepada Harapan Daily (HD) apabila diminta mengulas lanjut mengenai salah satu intipati ucapannya berkaitan mutu perkhidmatan syarikat telekomunikasi di negara ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pulai itu merasmikan dua acara di lokasi sama, iaitu Majlis Hari Bertemu Pelanggan Bersama Agensi-Agensi Kerajaan Masyarakat Madani Sepang dan juga perasmian Pusat Khidmat Rakyat, Parlimen Sepang.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu.

BACA JUGA Berpuluh tahun Malaysia ‘import’ kepakaran luar, kenapa sekarang jadi isu?