Pemaju berkeras, penduduk Kampung Sungai Baru bimbang teraniaya

Pemaju yang terlibat dalam pengambilan semula Kampung Sungai Baru berkeras agar penduduk mengosongkan rumah dan tanah mereka. Ini lantas menimbulkan keraguan tentang keupayaan sebenar pemaju untuk mengendalikan projek ini.

“Pemaju telah memindahkan pemilik rumah flat yang telah bersetuju selama lima tahun awal tanpa mendapatkan persetujuan semua pihak. Ini satu strategi untuk memberikan tekanan kepada penduduk majoriti yang tidak bersetuju untuk berpindah,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru bersama penduduk yang terkesan.

“Bertambah malang pemaju tidak ambil endah permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh penduduk dan bertambah malang pemaju mendapat sokongan daripada orang-orang yang berkuasa sehingga sanggup menggunakan Akta Pengambilan Tanah,” tambah Khalid.

Dua minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur ditunda sehingga rundingan semula dijalankan.

Tiada tarikh ditetapkan tetapi adalah difahamkan tundaan adalah selama sebulan.

Laporan media terdahulu melaporkan bahawa penduduk Kampung Sungai Baru yang menentang projek pembangunan semula telah diberi tempoh sehingga 19 Januari untuk mengosongkan rumah mereka.

Isu pemerolehan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 rumah teres dan 14 blok apartmen yang dikenali sebagai Apartmen Sungai Baru.

Pemilik tanah di situ menerima notis pengosongan meskipun mereka mempunyai hak milik tanah selama 99 tahun.

Seramai 37 pemilik rumah teres membantah pampasan sebanyak RM400 sekaki yang telah ditawarkan.

Khalid turut mendedahkan bahawa kebanyakan penduduk juga tidak bersetuju yang diberikan oleh pemaju kerana ia tidak mengambil kira permasalahan mereka.

“Majoriti pemilik rumah teres tidak bersetuju dengan tawaran yang diberikan walaupun dijanjikan dengan tiga unit rumah ditambah dengan masalah-masalah sampingan lain.

“Bertambah menjadi parah apabila Akta Pengambilan Tanah digunakan dengan tawaran daripada kerajaan sendiri melalui Jabatan Penilaian Harta yang menawarkan harga yang lebih rendah daripada tawaran yang diberikan oleh pemaju,” kata Khalid.

Di pihaknya, Khalid memberi jaminan untuk menyegerakan pertemuan empat mata di antara pemaju, penduduk dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar masalah ini boleh diselesaikan pada kadar yang segera.