Pergolakan Umno dan kesannya

Umno bergolak kembali bagaikan badai ribut taufan meskipun parti tersebut sudahpun kehilangan pengaruh dalam kalangan pengundi sepertimana yang dapat dilihat di dalam keputusan pilihan raya umum ke-15.

Pada 27 Jan pula, tokoh – tokoh yang berpengaruh dalam parti disingkirkan. Antara nama terbesar yang dicantas demi kelangsungan parti ialah mantan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar.

Mantan naib presiden Datuk Seri Hishamuddin Hussein digantung keahlian selama enam tahun. Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan beberapa ahli lain turut menerima nasib sama.

Media terus menyoal kesediaan parti komponen Pakatan Harapan untuk menerima mereka yang tersepak keluar dari persada politik Umno.

Pergolakan ini belum reda. Naib presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob tidak setuju dengan pembersihan yang dijalankan di bawah pimpinan presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyatakan ketidaksetujuannya di atas tindakan tersebut melalui akaun Instagramnya kerana tindakan disiplin tidak diambil berdasarkan prosedur yang sepatutnya.

Hantaran Ismail Sabri di Instagram

Ismail turut menyatakan bahawa beliau dimaklumkan bahawa jawatankuasa disiplin hanya memaklumkan laporan terhadap individu terbabit kepada presiden dan itu menjadi sebab untuk ketidaksetujuan beliau.

Dalam perkembangan berkaitan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Idris turut menggunakan media sosial dalam memberi petanda kerjasama di antara beliau dan Khairy. Di dalam satu ciapan, tuanku berciap dalam bahasa Inggeris:

“Experienced, proven, why not…”

Turut disertakan gambar tuanku bersama Khairy dengan kata-kata “Future JDTFC CEO and Johor Youth adviser @khairykj.”

Tawaran TMJ kepada Khairy Jamaluddin yang diciapkan

Apa yang jelas, Ahmad Zahid telah mengukuhkan kedudukannya di dalam parti Melayu ini. Suara-suara yang menentang pandangan majoriti sudah disenyapkan.

Adakah perkembangan ini bagus untuk “parti keramat orang Melayu”?

Sekiranya pemecatan ini dijadikan isu dan dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) adakah Umno mampu dilahirkan semula sepertimana yang berlaku dalam 1980an yang menyaksikan pertembungan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang membawa kepada penubuhan Umno Baru?

Krisis dalaman parti bukan perkara baru untuk Umno tetapi dalam keadaan presiden Umno sendiri menghadapi tuduhan di mahkamah dan parti tersebut hilang pengaruh dalam kalangan masyarakat, adakah pencantasan yang berlaku ini petanda bahawa Umno bakal terkubur dengan sendiri?

Dalam kalangan mereka yang tercantas, peluang Khairy kembali ke persada utama kelihatan bersinar berdasarkan ciapan TMJ.

Mungkin ahli dan pemimpin Umno perlu merujuk kembali – bukan kepada perlembagaan parti – tetapi kepada lagu parti Umno sebagai peringatan.

Berikut adalah sebahagian daripada lirik lagu yang cukup relevan dan bermakna untuk anggota Umno demi perjuangan mereka selama ini:

 

Bersama kita bersama

Mendukung hasrat semua

Berjasa pada bangsa

Agama dan negara

Lambang kita yang gagah

Dipandang mulia dan indah

Bersatu, bersetia, berkhidmat

Cogan katanya

UMNO terus mara

Untuk rakyat Malaysia

Perhimpunan Agung Umno 2023 tidak lagi melihat pemimpin Umno mendukung hasrat semua. Sejak pilihan raya umum 2018, Umno tidak lagi gagah. Gahnya parti Umno terserlah sejak era Datuk Onn Jaafar hingga era Dr Mahathir sebagai presiden merangkap perdana menteri keempat.

Sekiranya Umno dipandang mulia dan indah, parti serpihan Melayu takkan wujud seperti cendawan selepas hujan. Pas dan Bersatu yang menganggotai Perikatan Nasional takkan wujud sekiranya Umno dipandang mulia dan indah.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Ahmad Maslan sudahpun mengumumkan lima langkah ke depan untuk. Antaranya termasuklah pengkaderan ahli baru dan kerjasama strategik dengan kumpulan lain.

Namun langkah-langkah ini belum tentu dapat meremajakan parti yang mengekalkan kepimpinan lama. Peremajaan parti hanya berkesan sekiranya parti tersebut berubah daripada kerajaan kepada pembangkang dan kembali sebagai kerajaan selama satu atau dua penggal.

Perkara ini berlaku kepada banyak parti politik di luar negara. Malangnya tidak kepada Umno.

Jika keberadaan Umno dilihat dalam konteks pakatan politik yang kini cair, keberadaan presiden parti Ahmad Zahid di dalam kabinet bagaikan mendukung biawak hidup untuk kerajaan pimpinan Anwar.

Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri pertama yang berdepan dengan kes mahkamah. Sekiranya didapati bersalah, kerajaan pimpinan Anwar akan dipersalahkan.

Sekiranya tidak didapati bersalah, maka akan wujud persepsi bahawa badan kehakiman tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya.

Dalam keadaan Ahmad Zahid membawa masuk 30 kerusi, termasuk rakan komponen BN, ke dalam kerajaan, timbul pula persoalan samada 26 kerusi Umno akan menyokong Anwar atau tidak.

Persoalan samada Ismail Sabri akan bangkit menentang Ahmad Zahid timbul menjelang pemilihan parti tidak boleh ditolak memandangkan beliau juga tidak bersetuju dengan keputusan parti.

Amatlah malang sekiranya agenda reformasi dan wawasan madani yang dibawa oleh Anwar terencat kerana perkembangan di dalam Umno.

Kerjasama PH dan BN juga akan terkesan di dalam pilihan raya negeri. Ini secara langsung akan memberi peluang kepada Perikatan Nasional untuk menguatkan naratif gelombang hijau dalam kalangan pengundi.

BACA JUGA: Pembersihan total Umno. Lembaga Disiplin demokratik

 

 

 

Â