Bahaya rasuah dianggap sedekah

Adalah berbahaya apabila rasuah dianggap sedekah. Sempadan antara rasuah dengan sedekah menjadi kabur hinggakan nanti ia mungkin boleh membawa kepada keadaan di mana segala bentuk korupsi dianggap halal.

Perkara ini merupakan suatu isu yang berat, lebih-lebih lagi bagi negara yang di dalamnya banyak berlaku amalan rasuah. Maka usaha untuk membanteras korupsi akan lebih sukar.

Apa yang membimbangkan ialah bila mana perbuatan rasuah itu dilihat sebagai suatu yang normal dan tidak bersalah – baik dari segi etika mahupun agama.

Ditambah pula ada yang menganggap hanya mahkamah boleh menentukan sesuatu perbuatan itu rasuah atau sedekah. Jadi sesuatu perbuatan itu hanya dianggap rasuah apabila seseorang itu didapati bersalah.

Sedangkan sama ada wujud dakwaan atau perbicaraan, sama ada salah atau tidak, rasuah adalah rasuah. Sedekah adalah sedekah. Rasuah tetap rasuah walaupun ia dipanggil sebagai sedekah.

Masyarakat mesti disedarkan tentang apakah itu rasuah, dan perbezaannya dengan sedekah. Rasuah adalah perbuatan buruk yang merosakkan masyarakat dan negara.

Sedekah adalah amalan mulia yang mendatangkan kebajikan kepada masyarakat dan memakmurkan negara. Perbezaan antaranya adalah nyata dan ia perlu dipertahankan supaya kedua yang bertentangan itu tidak bercambur-baur.

Penguatkuasaan, daripada aduan, penyiasatan, pendakwaan, perbicaraan dan hukum merupakan usaha pengajaran kepada anggota masyarakat untuk mengelak perbuatan rasuah. Tetapi ia tidak akan dapat membanteras korupsi secara menyeluruh.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan individu yang memulakan polemik menyamakan rasuah dengan sedekah

Ini kerana pembanterasan korupsi yang menyeluruh perlu membabitkan kesedaran masyarakat untuk mengamalkan budaya bersih daripada rasuah. Untuk mewujudkan budaya ini, ia memerlukan pendidikan masyarakat.

Maka pemimpin-pemimpin masyarakat terutamanya ahli-ahli politik wajar menjadi contoh. Lebih-lebih lagi ahli politik yang turut dianggap oleh masyarakat sebagai ulama. Mereka mesti turut mendidik rakyat supaya mengamalkan budaya bersih baik melalui ucapan dan lebih-lebih lagi perbuatan.

Bukan saja mereka perlu mengelak diri daripada rasuah tetapi dalam ucapan dan kenyataan mereka, jangan sekali-kali memberi ruang kepada mentaliti rasuah. Ia harus dimulakan di peringkat awal dalam proses pilihan raya, iaitu tidak memberi wang kepada pengundi untuk mendapatkan undinya.

Memberi wang atas nama sedekah semasa kempen pilihan raya dengan pengundi berkenaan sedar bahawa tujuan pemberian itu adalah untuk mendapatkan undinya adalah jelas merupakan rasuah. Ia sebenarnya membeli undi.

Jika kemenangan dalam sesuatu pilihan raya dicapai atas pemberian sesuatu kepada pengundi semasa kempen, maka ia merosakkan demokrasi.

Ini kerana kerajaan yang ditubuhkan atas kemenangan yang diperoleh melalui pembelian undi tidak akan sebenar-benar mencerminkan kehendak rakyat.

Sebabnya ialah sebahagian pengundi yang undinya dibeli memilih sesuatu pihak bukan kerana pertimbangan bebas mereka sendiri tetapi adalah kerana pihak itu memberikan mereka wang.

Dalam sejarah, Pas sebelum ini, semasa kepemimpinan Dr Burhanuddin Al-Hilmy, Asri Muda, Yusof Rawa dan Fadzil Noor, tidak pernah menyatakan sesuatu perbuatan rasuah itu sebagai sedekah.

Malah pada masa itu Pas sering mengkritik parti lawan yang mempunyai sumber lebih besar kerana sering memberi sesuatu kepada pengundi yang boleh diertikan sebagai rasuah.

Tetapi sejak pilihan raya umum ke-15, keadaan tiba-tiba berubah. Pas yang berada dalam gabungan Perikatan Nasional dengan memiliki sumber kewangan yang besar boleh pula menyatakan melalui pemimpinnya bahawa pemberian wang kepada pengundi adalah sedekah dan bukannya rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun dilaporkan mengumumkan akan menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukannya mengikut kepada tafsiran peribadi.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menegaskan rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk mentafsirkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan maksud pembelian undi.

Katanya: Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah sangat jelas dan apa jua istilah awam digunakan mempertahankan hujah adalah tafsiran peribadi semata-mata.

“Sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak,” katanya seperti apa yang dilaporkan The Star.

Menurutnya, Seksyen 10(a) akta berkenaan dengan perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

Apa pun istilah yang baik-baik seperti sedekah, sumbangan. hadiah, bantuan, cenderamata, saguhati dan biasiswa untuk menyembunyikan hakikat rasuah akan hanya dianggap sebagai suatu tafsiran peribadi. Bagi undang-undang, rasuah tetap dilihat sebagai rasuah walau apapun istilah yang diberikan.

Apa yang menimbulkan lebih rasa tidak senang ialah kenyataan memberi wang kepada pengundi yang dianggap sedekah itu datangnya dari seorang pemimpin dari sebuah parti yang ditubuhkan atas nama Islam. Dengan nama rasmi Pas yang terkandung di dalamnya perkataan Islam, ditambah pula ia dipimpin golongan berpendidikan tinggi agama dan dipanggil ulama, maka apa yang dinyatakan boleh mengelirukan masyarakat.

Maka golongan yang yakin pada pendapat ulama itu mungkin turut menganggap bahawa memberi rasuah untuk mendapatkan undi adalah sedekah dan dibenarkan oleh agama. Apabila sudah melibatkan agama, mereka tidak akan terdorong untuk menimbangkannya dari segi undang-undang, etika dan amalan demokrasi.

Dalam pada itu mungkin ada pula orang yang berpegang pada fahaman matlamat menghalalkan cara dalam politik. Maknanya kalau dalam bidang-bidang lain ia merupakan sesuatu kesalahan tetapi semua perkara yang tidak betul dibenarkan kerana ia bermatlamatkan politik.

Penipuan, penyelewengan dan rasuah dibolehkan kerana matlamatnya adalah untuk mendapatkan kuasa.

Lebih-lebih lagi ia dibuat atas nama perjuangan dan gerakan agama. Semua perbuatan buruk termasuk rasuah dan jenayah boleh dilakukan atas nama politik agama. Tidakkah fahaman sebegini berbahaya pada kehidupan bernegara yang mengikut sistem demokrasi?

Jadi sebelum keadaan seperti ini berlaku, tokoh-tokoh masyarakat termasuk ahli politik dan ulama wajar menegaskan bahawa rasuah termasuk memberi wang semasa kempen pilihan raya adalah suatu perbuatan buruk yang perlu dibanteras.

Pilihan raya mesti dilaksanakan dengan bersih. Unsur-unsur rasuah mesti dibanteras. Sebab itu, ada undang-undang terhadap perkara itu. Sistem demokrasi negara ini menyediakan peraturan dan kaedah supaya tidak berlaku rasuah semasa pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya dan SPRM adalah dua institusi besar negara yang turut berperanan antara lain untuk mewujudkan kebersihan demokrasi ini.

Tetapi sistem ini akan dapat berjalan lancar apabila parti-parti politik turut menghormati dan akur kepada peraturan dan undang-undang berkaitan pilihan raya. Jika parti politik memberi wang kepada pengundi, maka ia mengganggu sistem ini.

Selain daripada ia menghasilkan mandat palsu rakyat, pihak berkuasa pilihan raya terpaksa juga bertindak ke atas parti itu.

Sudah tentu keadaan ini tidak menyenangkan penyokong-penyokongnya, dan keadaan ini boleh menimbulkan perbalahan politik, suatu yang tentunya tidak elok bagi negara.

Sebab itu, dari awal lagi parti-parti politik mesti diingatkan bahawa memberi wang kepada pengundi semasa kempen pilihan raya bukanlah suatu sedekah, ia adalah rasuah.

Pemberian wang itu adalah terang-terang merupakan perbuatan membeli undi. Ia merupakan rasuah yang ditolak oleh undang-undang, agama dan etika.

Kalau hendak bersedekah, lakukan secara ikhlas di luar waktu kempen pilihan raya dan tidak dikaitkan dengan politik.

BACA JUGA: Menyambut usaha mewujudkan Malaysia Madani

SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah