Curi tanah, balak jahanamkan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa apa yang menjahamkan negara adalah perbuatan mencuri tanah dan balak selain saham komisen projek.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media mengenai ciapan di Twitter bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang seolah-olah menyindir pelantikan Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.

“Tetapi saya nak bagi tahu yang penting sekali termasuk saudara Peja, hentikan curi tanah dan balak dan saham komisyen projek, ini yang menjahanamkan negara.

“Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Semua bicara soal rasuah, tapi bila kita sebut kes-kes ini, dia kata mengapa nak bongkar kisah lama,” ujarnya.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar pada Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru, Ipoh petang semalam.

Dalam masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tidak membayar apa-apa elaun kepada Nurul Izzah untuk tugasnya bagi jawatan tersebut.

“Memang saya minta dia, pelawa dia untuk membantu saya sebagai Penasihat di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia, baik di Pejabat Perdana Menteri dan di Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Menurutnya, pihak yang mempertikaikan kelayakan akademik Nurul Izzah untuk lantikan tersebut mungkin tidak teliti.

Ujarnya, beliau sendiri tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan tetapi menjadi pernah menteri kewangan selama lapan tahun.

“Apakah seorang menteri kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang menteri air mesti seorang engineer, tak pernah berlaku macam itu,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Izzah tiada kuasa, hanya beri maklum balas kepada Menteri Kewangan