Empat negeri dikuasai Pas sudah madani?

Pas tanpa perlu berdolak-dalik mesti membuktikan konsep madani diterjemahkan terlebih dahulu secara menyeluruh dalam dasar pentadbiran di empat negeri yang dikuasainya.

Membaca ‘kuliah’ panjang Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam dengan tajuk, “Negara Madani Acuan Allah”, seolah-olah Pas lupa sedang mentadbir Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah puluhan tahun menyebut tentang masyarakat madani, Abdul Hadi cuba mengajar masyarakat tentang bagaimana menjadi negara madani mengikut acuan Allah.

Walhal, Kelantan yang dikuasai Pas sejak lebih 30 tahun sepatutnya muncul menjadi negeri paling madani dari segi kebersihan fizikal hingga hal membabitkan tata kelola negeri.

Namun, yang ‘madani’ kenderaan rasmi pimpinan negeri dengan hanya kereta jenama Mercedes Benz yang dibeli tatkala masih gagal mengatasi masalah bekalan air bersih yang kos projeknya sudah melambung kepada RM7 bilion.

Apabila Abdul Hadi menegaskan bahawa acuan madani yang berbeza daripada petunjuk Allah dan teladan Rasulullah SAW, pasti akan menemui kegagalan yang sama seperti tamadun sebelumnya, entah mungkin dia lupa tentang apa yang dibuat anak buahnya, Sanusi Md Nor.

Abdul Hadi Awang

Reaksi Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung isu khidmat pakar runding dari Lembaga Pembangunan dan Perumahan Singapura (HDB) nyata bercanggah dengan “proses tarbiyah rabbaniyyah imaniyyah” yang ditekankan oleh Hadi.

Bagaimana sangkaan buruk terhadap seorang menteri yang cuba melestarikan perumahan rakyat boleh berlaku jika Sanusi memiliki “kepimpinan yang beriman, berilmu, dan berakhlak” seperti disebut dalam Minda Presiden Pas itu?

Tidak keterlaluan dikatakan, Pas sebenarnya sangat tidak madani, jauh sekali menghayati perintah Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran serta mencontohi ketokohan junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW.

Apakah tindakan Pas bahkan pendirian Abdul Hadi sendiri sebelum ini telah mengikut madani acuan Allah semasa parti ‘terpaling’ Islam itu menduduki kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila kekerapan cabutan khas nombor ramalan dinaikkan kepada 22 kali setahun?

Sanusi Md Nor

Umum juga sudah maklum, wakil rakyat mana paling corot kehadiran di Dewan Rakyat tahun lalu ketika Abdul Hadi mengingatkan umat bahawa ‘penyakit’ termasuk salah tadbir urus dan tidak berintegriti boleh diubati mengikut peta jalan (road map) berpandukan al-Quran yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

Tidakkah sikap culas menjalankan tanggungjawab walaupun dibayar gaji dan elaun berbelas ribu ringgit sebulan itu madani mengikut acuan Allah?

Pas boleh sembang apa sahaja mengenai masyarakat dan negara madani dengan sarat petikan ayat dan terjemahan ayat al-Quran tetapi jangan ‘koyak’ apabila hanya menguatkan lagi gelarannya sebagai parti penunggang agama.

Tiadanya tekad politik Pas sebelum ini untuk menerapkan nilai-nilai madani ketika menjadi sebahagian kerajaan PN serta sekarang di Terengganu, Perlis dan Kedah, lebih-lebih lagi di Kelantan, sepatutnya mengecewakan penyokong parti tersebut.

Namun, nampaknya rata-rata pemimpin Pas selesa untuk terus bersikap seperti ayam berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

BACA JUGA Melayu, Madani dan Pas