Komuniti Rahmah keutamaan Kementerian Perpaduan Negara

Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa mendukung usaha mempromosikan konsep masyarakat madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha membentuk masyarakat madani yang diterajui kementeriannya menumpukan kepada teras Komuniti Rahmah, iaitu konsep kasih sayang antara masyarakat.

“Dalam konsep Malaysia Madani, misi utama Kementerian Perpaduan ialah membina masyarakat yang bertamadun selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

                                                               Aaron Ago Dagang Foto: Ghifari 

Aaron yang juga merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, pelaksanaan Komuniti Rahmah perlu diterapkan dalam setiap masyarakat bagi mewujudkan perasaan kasih sayang sesama masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam program pelancaran Pemerkasaan Projek Komuniti Rukun Tetangga: Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di Bandar Tasik Puteri Rawang pagi ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Dr Noh Hisham Hamid.

Melalui program itu, Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit menyeru kepada seluruh anggota masyarakat untuk mendalami rukun Madani bagi memantapkan sosial masyarakat.

“Pihak kementerian menekankan rukun pertama daripada enam teras Madani iaitu kemampanan kerana ia penting untuk mengeratkan hubungan kaum yang berbeza di negara kita.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh kepimpinan dan masyarakat untuk menghayati konsep rahmah dalam kehidupan bermasyarakat ini,” tambahnya lagi.

Terdahulu, konsep ‘Malaysia Madani’ yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Keenam-enam intisari kerangka dasar Madani tersebut diangkat bagi memartabatkan semula maruah diri, keluarga, masyarakat dan Malaysia.

BACA JUGA Menu Rahmah: Makanan RM5 dan ke bawah