Terima kasih Gorontalo, Prof Agus mahu pulang untuk berbakti kepada negara

Bekas profesor sains politik Malaysia yang bertugas di Indonesia selepas bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamad Agus Yusoff akan pulang berkhidmat untuk negara semula.

Dalam satu kenyataan di facebook beliau semalam, Dr Agus mengucapkan terima kasih kepada Gorontalo, tempat beliau berkhidmat di Indonesia.

“Selama 6 bulan bertugas di Gorontalo, banyak yang saya perhatikan.

“Kehidupan masyarakatnya harmoni, mahasiswanya rajin, masjidnya menyatukan masyarakat, dan politiknya tanpa ekstremisme agama dan kaum.

“Alamnya pula dibaluti hutan, gunung, tasik, sungai dan laut yang indah. Ini menjadikan Gorontalo daerah yang mendamaikan.

“Begitupun bahagia dan gembira, dua hari lepas, saya tekad menamatkan perkhidmatan di sini kerana mahu pulang untuk berkhidmat dan menyumbang bakti pula di negara sendiri,” kata Agus.

Dr Agus disebut-sebut akan berkhidmat dengan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Malaysia Madani dilancarkan.

“Itu sahajalah yang mampu saya lakukan untuk negara sendiri di usia sebegini.

“Gorontalo, terima kasih atas segala kasih sayangmu. Ia kenangan yang akan kekal selamanya.

“Jumpa lagi,” kata Dr Agus, saintis politik yang mengaku secara terbuka menyokong Anwar ketika kempen PRU 15 lalu.

Menurut Wikipedia, Gorontalo atau dalam bahasa tempatan disebut Hulontalo adalah sebuah negeri yang berada di pulau Sulawesi sebelah utara.

Dahulunya Gorontalo merupakan sebuah Kabupaten (Melayu: Majlis Daerah) dibawah pentadbiran provinsi Sulawesi Utara sebelum akhirnya dinaiktaraf sebagai Negeri berdiri sendiri pada 5 Disember 2000.

Sebelum ini, bekas pensyarah UKM itu menolak sebarang jawatan dan tawaran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyumbang kepada kerajaan hari ini.

Kata Agus, dia menyokong kepimpinan Anwar kerana mahukan perdana menteri ke-10 itu membawa perubahan kepada negara ini dan tidak lebih daripada itu.

“Kawan-kawan yang merasakan saya mengampu untuk mendapatkan jawatan, janganlah berpandangan serong begitu.

“Saya menyokong DSAI kerana mahu beliau memimpin bagi membawa perubahan kepada negara kita. Saya tidak boleh bayangkan apa akan terjadi jika pemimpin lain yang memerintah,” katanya dalam satu komen pada hantaran di Facebook.

 

BACA JUGA  Kerajaan Perikatan Nasional punca masalah kami