Vaksin manusia dijangka siap 2030 hadapi gelombang virus baharu

Kerajaan menjangkakan menjelang 2030, Malaysia bakal menghasilkan vaksin manusia bagi mendepani kemungkinan tercetus gelombang virus baharu.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, dengan penghasilan vaksin manusia sendiri, kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap negara luar seperti mana yang berlaku ketika pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.

“Kita sedang membangunkan kapasiti menghadapi pandemik yang lain, di mana kalau berlaku satu lagi pandemik, kita harap boleh menghasilkan vaksin manusia.

“Kalau kita perasan apabila berlaku pandemik Covid-19 pada 2020, kita bergantung 100 peratus penghasilan vaksin dari luar negara.

“Sekiranya, kita ada kapasiti menghasilkan vaksin manusia, maknanya kita tidak perlu bergantung sangat pada penghasilan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Bioteknologi Nasional Malaysia (NIBM), Pfizer Malaysia dan Malaysian Vaccines and Pharmaseutical (MVP) Sdn Bhd.

Pada masa sama, Chang meyakini kerjasama antara tiga syarikat pengeluar vaksin tempatan terbabit selain dapat menjimatkan kos, juga dapat menjamin keselamatan vaksin untuk rakyat Malaysia.

Bagaimanapun daripada segi kos pembangunan, ia masih belum dimuktamadkan.

“(Apabila negara dapat hasilkan vaksin sendiri), memang ada penjimatan dari segi kos tetapi satu sudut lagi penting adalah supaya kita dapat jamin keselamatan vaksin untuk negara kita,” katanya.

Pada November 2021, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Kebangsaan (NVDR) dengan objektif untuk membolehkan Malaysia menjadi pengeluar vaksin tempatan.

Motivasi utama Malaysia untuk usaha tersebut adalah untuk membina keselamatan kesihatan negara.

Â