Jangka KDNK berkembang, PM yakin tata kelola baik tarik banyak pelabur
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang kira-kira empat hingga lima peratus pada 2023, sejajar dengan unjuran terdahulu Bank Negara Malaysia (BNM).
Anwar, yang juga menteri kewangan berkata kerajaan berpuas hati dengan prestasi suku keempat 2022 (S4 2022) kerana lebih banyak perubahan positif dilihat dalam tempoh beberapa bulan lalu.
“Saya berharap kita akan dapat mengekalkan prestasi itu,” katanya dalam temu bual bersama Bloomberg TV, pada Isnin.
Menurut laman web BNM, bank pusat akan mengumumkan keputusan Suku Ke-4 KDNK 2022 pada 10 Feb, 2023.
Sementara itu, Anwar berkata beliau percaya kerajaan yang mengamalkan tata kelola dan akauntabiliti demokrasi yang baik akan dapat menarik lebih banyak pelabur.
“Jika anda memiliki sistem dengan dasar yang sangat jelas untuk menarik pelaburan, (beserta dengan) kemudahan untuk menjalankan perniagaan, pantas, cekap dan tidak ada amalan rasuah, pelabur akan datang,” katanya.
Apabila ditanya sama ada pentadbiran beliau akan mengekalkan defisit fiskal pada 5.5 peratus daripada KDNK bagi 2023, Anwar berkata kerajaan perlu mengurangkan defisit secara beransur-ansur tetapi tanpa mengorbankan kebajikan awam atau pendidikan dan kesihatan golongan miskin.
“Jadi, kami perlu menanganinya dengan sangat berhati-hati,” katanya sambil mendedahkan bahawa sasaran defisit akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 yang dipinda, pada 24 Februari, 2023.
Bagaimanapun, katanya, Malaysia bernasib baik kerana hasil daripada cukai telah meningkat sedikit berserta dengan cukai daripada petroleum dan gas.
Mengenai pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) Anwar menolak kemungkinan pelaksanaan cukai itu buat masa ini berikutan status pendapatan semasa di Malaysia.
“GST kekal sebagai sistem percukaian paling telus dan cekap… masalahnya apabila terdapatnya kemiskinan tegar dan rakyat langsung tidak mendapat gaji minimum, bagaimana boleh kita laksanakan sistem percukaian yang telus?” soalnya.
Namun begitu, beliau tidak menolak melaksanakan semula GST sekiranya purata paras pendapatan di negara ini meningkat kepada RM3,000-RM4,000.
Mengenai penyelesaian 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Goldman Sachs Group Inc, perdana menteri menggesa institusi kewangan utama global itu untuk menyelesaikannya dengan Malaysia.
“Saya berharap agar mereka dapat menyelesaikannya dengan Malaysia kerana 1MDB dikenali di seluruh dunia. Saya fikir Goldman Sachs perlu memberitahu perkara yang sebenarnya dan berurusan dengan Malaysia,” katanya.
Bloomberg melaporkan pada 2020, Goldman Sachs mengakui peranannya dalam kes rasuah asing terbesar dalam sejarah penguatkuasaan Amerika Syarikat, mencecah penyelesaian antarabangsa berbilion dolar untuk menamatkan penyiasatan ke atas pengumpulan dananya bagi 1MDB.
BACA JUGA PM sedia terima teguran, nepotisme berlaku jika perkayakan diri