Menu Rahmah RM5 di 15,000 kedai dilancar KDPN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan mekanisme menu yang lebih mesra iaitu ‘Menu Rahmah’ dengan harga hidangan RM5 dan ke bawah kepada golongan memerlukan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata menu berkenaan yang merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur akan dapat memberi memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih makanan siap sesuai dengan pendapatan mereka.

“Menu Rahmah ialah makanan siap dan harganya RM 5 dan ke bawah sahaja.

“Sajian Menu Rahmah ini bukan sahaja meliputi nasi dan ayam, tetapi ia juga boleh didapati dalam sajian lain berupa sizzling, rojak dan shawarma.

“Selari dengan komitmen Kerajaan Perpaduan mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin mencabar, diharap Menu Rahmah dapat mengurangkan beban rakyat,” katanya selepas perasmian Iniasitif Menu Rahmah di Pasar MYDIN, Subang Jaya hari ini.

Selain itu turut hadir dalam perasmian berkenaan ialan Timbalan KPDN YB Senator Hajah Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan MYDIN Datuk Ameer Ali Mydin.

Hasil kerjasama KPDN dan persatuan restoran, Ahli Parlimen Pulai itu menjangkakan 15 ribu premis makanan akan terlibat sama dalam iniasitif berkenaan.

“Setakat ini KPDN menganggarkan hampir 15,000 pengusaha makanan terlibat dalam Menu Rahmah di seluruh negara.

“Pihak kami juga menjangkakan lebih banyak lagi restoran turut sama dalam usaha ini,” katanya.

Selain itu, Salahuddin berkata kementeriannya akan melancarkan insentif baru iaitu ‘Cafe Rahmah’ bagi membantu golongan mahasiswa selewat lewatnya Mac depan.

“KPDN akan melancarkan Cafe Rahmah yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar universiti di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan. Selewatnya insentif ini akan dibuat pada bulan tiga ini,” katanya lagi.

Menu Rahmah ini juga dijayakan hasil kerjasama pertubuhan pengusaha makanan antaranya Pertubuhan Sahabat Tomyam Prihatin Semalaysia (PEMASAK) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) usaha ini dapat direalisasikan kepada rakyat.

Untuk rekod, KPDN sebelum ini telah melancarkan beberapa iniasitif baru iaitu Bakul Rahmah, Payung Rahmah dan Harga Barang Rahmah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

BACA LAGI Anwar: Keterjaminan makanan bidang baharu untuk diteroka bersama Singapura