Pengurangan cukai terhadap pengusaha Menu Rahmah akan diperinci

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membincangkan pengurangan cukai terhadap pengusaha restoran yang terlibat dalam iniasitif Menu Rahmah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pengurangan cukai itu dibuat bagi memudahkan kerjasama para peniaga terlibat dalam menjayakan iniasitif tersebut.

“Kita akan menyantuni sesiapa sahaja yang menjayakan Menu Rahmah dengan kemampuan yang kita ada.

“Ada sesetengah pengusaha restoran yang mengalami kesulitan untuk mendapatkan pekerja.

“Oleh itu, pihak kerajaan bersedia untuk membantu mereka untuk memberikan servis yanh terbaik dalam bidang pemakanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran program Menu Rahmah di Mydin Subang Jaya, hari ini.

Susulan daripada program tersebut, Salahuddin juga yakin bahawa iniasitif Menu Rahmah tidak hanya menjadi pilihan pada golongan berpendapatan rendah, tetapi juga boleh dimanfaatkan kepada golongan lain.

“Pada saya golongan M40 dan T20 tiada masalah untuk membeli Menu Rahmah bergantung kepada pilihan mereka untuk membeli apa sahaja bentuk sajian,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pihak KPDN akan bersiap siaga untuk memberi kerjasama kepada pihak pengusaha yang mengalami kesulitan dalam menjayakan Menu Rahmah ini.

“Sekiranya pengusaha restoran mengalami masalah, mereka boleh menyalurkan aduan-aduan tersebut melalui persatuan-persatuan.

“KPDN akan sentiasa memerhati dan mendengar aduan daripada pihak persatuan untuk kita bincang dari masa ke semasa,” katanya lagi.