Rusia pelawa Malaysia eksport buah tropika, makanan laut
Rusia mempelawa Malaysia untuk meningkatkan eksport produk pertanian ke negara berkenaan termasuk buah-buahan tropika dan produk makanan laut.
Dalam pertemuan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu dan Duta Besar Rusia di Malaysia, Naiyl M. Latypov semalam, kedua-dua negara berazam untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian.
Perkara tersebut dimaklumkan MAFS menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut MAFS, Rusia juga bersedia untuk mengeksport produk halal dan soya ke Malaysia.
“Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.
“Malaysia dan Rusia dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan perikanan pada tahun ini.
“MoU tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan dalam bidang pertanian antara kedua-dua negara termasuk dalam teknologi biji benih, pertanian moden dan pintar, perikanan serta akuakultur,” maklum kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menyifatkan kakitangan di kementeriannya diseru bekerja lebih pantas bagi memastikan bekalan makanan untuk keperluan negara ini sentiasa cukup dan terjamin.
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan berkata, harapan itu adalah selari dengan simbolik Tahun Baharu Cina 2023 yang menandakan tahun arnab yang bersifat pantas dan laju.