Tapak perkhemahan di Selangor perlu didaftar mulai esok

Semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor diseru segera mendaftar dalam program pemutihan bagi memastikan keselamatan pengunjung apabila mereka datang ke pusat perkhemahan di negeri tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata syarat minimum yang wajib bagi permohonan lesen dan permit adalah keperluan pelan ukur tanah oleh juruukur tanah yang bertauliah.

Katanya, program pemutihan bermula Februari ini melibatkan pendaftaran tapak perkhemahan oleh pengusaha seluruh negeri Selangor bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Bagi pertimbangan pemberian Lesen Perniagaan Sementara dan Permit Bangunan Sementara dalam usaha membantu pihak pengusaha beroperasi secara selamat, anggaran tempoh prosesnya adalah bermula April 2023.

“Mengenai kaedah pendaftaran pula, PBT akan menghebahkan perkara itu kepada umum dalam masa terdekat, bagaimanapun tarikh tutup permohonan akan diberitahu kemudian,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Mohd Hasry Nor Mohd; Pengarah Jabatan Perancang Bandar Majlis Perbandaran Hulu Selangor, TPr Azlina Mokhtar; Pengarah Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Klang, Datin Fadzilah Abdul Aziz; Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Norddin Nor dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mazalan Zainuddin.

Penerangan diberikan mengenai isu tapak perkhemahan di Selangor

Ditanya apakah syarat umum kelulusan lesen, Sze Han berkata terdapat dua perkara diberi perhatian, iaitu pertama dari segi penentuan kesesuaian sesebuah tapak perkhemahan.

“Kedua, selepas diberi lesen sementara mereka akan dimaklumkan berkaitan syarat-syarat ditetapkan agar ianya dapat dipatuhi.

“Yang penting penerangan mengenai keselamatan (safety briefing) perlu diadakan ketika proses daftar masuk dan itu juga merupakan satu syarat minimum yang wajib dipatuhi pengusaha.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong aktiviti sihat seperti perkhemahan, namun aspek keselamatan dan nyawa orang awam mesti menjadi keutamaan dalam menetapkan syarat, garis panduan dan undang-undang,” ujarnya.

Menurut Sze Han lagi, garis panduan itu telah dipersetujui menerusi penganjuran bengkel penyediaan garis panduan tapak perkhemahan Negeri Selangor melibatkan wakil-wakil kementerian, PBT, jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

Bengkel tersebut, katanya, diadakan selama tiga hari bermula 29 Februari lalu di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor.

BACA JUGA Vaksin manusia dijangka siap 2030 hadapi gelombang virus baharu