Hadi Awang menyalah tafsir maksud undang-undang ‘sedekah’

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyalah tafsir undang-undang berkaitan belanja dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dengan sedekah, kata ahli jawatankuasa pusat Amanah, Mohamed Hanipa Maidin.

“Andai kata tadi bahawa hanya seorang calon atau wakil calon. Kenapa undang-undang ini digunakan perkataan ‘every person’? Ini bermakna ia merangkumi semua orang bukan terhad hanya kepada calon atau wakil calon sahaja,” kata Hanipa yang juga merupakan seorang peguam dalam satu sesi langsung  semalam.

Beliau yang merupakan mantan ahli parlimen Sepang bersiaran melalui saluran Youtube, Prima Facie Media yang turut disiarkan menerusi saluran video pendek, TikTok.

Ekoran dari tersebarnya video yang menunjukkan pemberian wang jentera Pas kepada para pengundi semasa pilihan raya umum ke 15 di Terengganu, Hadi yang juga adalah presiden Pas dan timbalan presiden Perikatan Nasional menyamakan perkara tersebut dengan sedekah.

Beliau juga mendakwa bahawa pemberian wang tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang pilihan raya kerana kekangan perundangan hanya membataskan calon dan wakil calon dari berbuat demikian.

Hadi yang memulakan polemik ‘sedekah’ meskipun ia satu kesalahan di bawah undang-undang

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut mempertahankan kenyataan Hadi dengan mengibaratkannya sebagai satu bentuk amal.

Ketua Pembangkang Datuk Hamzah Zainuddin pula menyokong Hadi dengan mengatakan bahawa pemberian wang boleh jadi betul atau salah, bergantung kepada niat.

Hanipa mengkritik kenyataan Amar yang hanya mengulang perkara yang diperkatakan oleh Hadi.

“Apabila seorang Presiden (Hadi Awang) bercakap, orang lain hanya mengulang semula ibarat ‘burung kakak tua’ sahaja. Sepatutnya kena lihat pada undang-undang,” katanya.

Hanipa turut menempelak kenyataan Hamzah berkaitan niat.

“Kalau anda bagi duit atau sesuatu kepada pengundi walaupun anda bukan calon atau wakil calon, logiknya hakim akan ambil itu sebagai satu niat untuk anda hendak mempengaruhi keputusan.

“Itulah cara hakim menafsirkan kerana hakim akan melihat daripada sudut konteks atau keadaan.

“Niat ini dalam hati susah hendak tentukan kecualilah hakim ada mesin x-ray untuk x-ray hati.”

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki sudahpun menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan itu bukan sedekah tetapi satu kesalahan undang-undang.

BACA JUGA: SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah