Agus fokus sampaikan maklumat pada rakyat, realisasikan Malaysia Madani
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di Jabatan Perdana Menteri, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof bertekad menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat bagi memastikan rakyat memahami dan menyokong misi kerajaan dalam merealisasikan Malaysia Madani.
Beliau dalam kenyataan selepas pelantikannya hari ini berkata, tanggungjawab besar yang digalas ini adalah atas hasrat untuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membangunkan negara bukan sahaja dari segi ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga dari segi siasah dan masyarakatnya.
Dari segi masyarakat, beliau menyatakan komitmen akan berusaha mendidik dan menyedarkan rakyat akan keperluan untuk saling menghormati dan bersatu supaya tidak ada lagi sikap ekstremisme agama dan kaum.
Beliau juga bertekad memulihkan semula pengaruh negatif yang banyak memberi kesan kepada hubungan antara kaum pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
“Saya lihat episod PRU-15 telah memisahkan masyarakat kita. Pengaruh media sosial telah membawa banyak kesan negatif kepada hubungan antara kaum.
“Bagi memulihkan kembali keadaan ini, kami di J-Kom akan berusaha untuk mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan tataetika yang betul supaya semangat patriotisme serta hubungan baik dan tolarensi sesama rakyat akan kembali kuat dan subur,” katanya.
Pada masa sama, beliau menekankan teras utama J-Kom, iaitu membudayakan ilmu, membudayakan masyarakat berkemahiran digital, dan mengukuhkan semangat patriotik rakyat.
Menurutnya, beliau akan maksanakan mengikut acuan Malaysia Madani supaya program-program yang bakal dilaksanakan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang maju, harmoni, dan sejahtera.
Bagi menggerakkan usaha ini katanya, J-Kom akan berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan seluruh agensi kerajaan, swasta, NGO, belia dan pemimpin masyarakat.