Beku akaun Bersatu: Tohmah kerajaan campur tangan tidak bertanggungjawab – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa badan-badan penguatkuasan dan kehakiman di negara ini kekal bebas di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinannya.

Perdana Menteri berkata pentadbirannya tidak mengulangi sikap menekan terhadap lawan politik seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

Tegas beliau tindakan tokoh pemimpin pembangkang yang partinya dalam siasatan melempar tohmahan bahawa kerajaan campur tangan adalah tidak bertanggungjawab.

“Mesyuarat Kabinet mengulangi penegasan bahawa badan siasatan, penguatkuasaan dan kehakiman kekal bebas.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi tokoh pemimpin parti pembangkang yang partinya dalam siasatan membuat tohmahan tentang campur tangan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tidak menggunakan badan-badan tersebut sebaliknya apa yang berlaku ialah terdapat laporan dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang kegunaan wang oleh Bersatu.

“Kedua saya menjalankan tugas di Kementerian Kewangan dan melihat projek-projeknya menelan perbelanjaan terlalu tinggi tanpa proses tender. Kalau proses tender tidak dilakukan kos tidak terlalu tinggi, ia tidak menjadi isu tidak hukum sesiapa.

“Dalam Dana Wibawa semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita dapati kos terlalu tinggi, saya dedahkan maklumat daripada Kementerian Kewangan.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM tidak tertakluk kepada pandangan saya,” jelas beliau.

Beliau berkata, maklumat siasatan menyatakan dalam akaun ada lebih RM300 juta dan ia harus dijelaskan oleh pimpinan parti terbabit sekiranya mereka benar-benar bersih.

“Kena jelaskan kepada penyiasatan mengapa dalam masa singkat boleh kumpul wang sebegitu banyak, dari sumber mana dan kepada siapa (diberikan), itu tugas SPRM, (selepas siasatan) baru dibawa kepada Peguam Negara, ikut proses,” tegasnya.

Dalam hal ini Perdana Menteri berkata arahan siasatan adalah untuk semua pihak tanpa pengecualian sama ada parti kerajaan atau pembangkang.

“Ini diputuskan kita tegaskan untuk elak kekeliruan,” katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan mahu lebih banyak tindakan proaktif, berkesan dan pantas kerana mempunyai keyakinan terhadap bahawa kerajaan perlu ada tadbir urus yang baik, anti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jelas beliau tindakan siasatan bukan bertujuan untuk menentang mana individu sama ada bagi masa lalu atau sekarang sebaliknya semua pihak tertakluk kepada proses undang-undang.

“Arahan (siasatan) tidak terbatas terhadap mana-mana parti. Bersatu tidak dedahkan akaun, ia didedahkan oleh penyiasat. SPRM kalau ada laporan, dia siasat, saya tidak ada masalah. Ya..akaun (Bersatu) diaudit dan dihantar kepada RoS (Pendaftar Pertubuhan) mengikut jadual (tahunan) ditetapkan,” katanya.

BACA JUGA: SPRM sahkan beku dua akaun Bersatu, siasat sumbangan dianggap suapan