Dua AJK Fatwa Kedah tidak terlibat resolusi songsang ulama Pas

Dua Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah tidak terlibat dengan resolusi songsang ulama Pas yang antara lain menegaskan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Dr Ismail Salleh susulan pertemuan dengan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang pada 30 Januari lalu.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor berkata, mufti telah memanggil kedua-dua ahli majlis fatwa yang nama masing-masing tertera dalam resolusi pada 17 November 2022.

Mereka adalah Syeikh Aminuddin Abdul Rahim yang juga Mudir Maahad Nurul Hidayah di Guar Cempedak dan Dekan Kuliyyah Syariah dan Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Dr Akli Ahmad.

“Kedua-dua ahli Majlis Fatwa itu menafikan mereka terlibat dalam mengeluarkan resolusi itu.

“Mereka hanya datang ke program tersebut memberi kertas kerja tetapi tidak terlibat memberi resolusi di sebelah malamnya,” kata Ismail memberitahu situasi sebenar seperti disampaikan Syeikh Fadzil.

Menerusi penjelasan di TikTok itu, Ismail yang juga Pengerusi Parti Amanah (AMANAH) negeri berkata, Majlis Muzakarah Ulama Kedah tidak mempunyai keabsahan untuk mengeluarkan sebarang fatwa.

“Jadi, jelas daripada penjelasan Mufti Kedah bahawa fatwa politik itu tidak terikat kerana tidak ada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengeluarkan apa-apa fatwa melainkan Majlis Fatwa Negeri Kedah,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan bahawa pendirian Pas negeri itu sebagai “fatwa politik songsang ulama Pas Kedah”.

Pada 17 November tahun lalu, Pas Kedah dalam perkara keenam Resolusi Majlis Muzakarah Ulama Kedah sebulat suara bersetuju bahawa gabungan parti politik yang mesti dipilih oleh pengundi pada PRU15 adalah PN.

Resolusi dengan diakhiri senarai 16 individu termasuk Syeikh Aminuddin dan Dr Akli itu menegaskan sokongan kepada PN adalah bagi “menjamin keutuhan agama, bangsa dan negara serta kesejahteraan dan keharmonian kaum dapat terpelihara.”