Jualan Rahmah, Jualan Ehsan banyak membantu rakyat

Program Jualan Murah Rahmah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan dan Jualan Ehsan Rakyat (JER) oleh Kerajaan Negeri Selangor telah memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Menurut Ahli Majlis Ampang Jaya, Anfaal Saari, kedua-dua program yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan masyarakat setempat dan seterusnya membantu rakyat Selangor yang kurang berkemampuan mendapat bahan makanan.

Katanya, program seperti ini harap dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan beliau akan terus menyokong dalam membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar.

“Dengan adanya program jualan murah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan (Jualan Murah Rahmah) dan Kerajaan Negeri Selangor (Jualan Ehsan Rakyat) telah memenangkan rakyat untuk membantu mereka mengurangkan kos sara hidup.

“Pelbagai inisiatif ini telah membuktikan kesungguhan kerajaan pada hari ini untuk mengurangkan beban rakyat selaras hasrat mengagihkan kekayaan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita Amanah (AWAN) Nasional berkata demikian ketika turut bersama dalam Program Jualan Ehsan Rakyat bertempat di kawasan perumahan teres Keramat AU3, hari ini.

Pada masa sama, kaunter bergerak Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang juga turut dibuka di tapak program JER bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan menyertai inisiatif kerajaan negeri Selangor.

“Kita juga buka kaunter bergerak bagi membolehkan warga setempat untuk memohon skim-skim yang berkelayakan.

“Selain aktiviti jualan, kita sendiri dapat turun untuk berbual dan berjumpa dengan rakyat untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi termasuk isu kos sara hidup,” ujarnya.

JER yang bermula tahun lalu dengan tujuan untuk menjual barangan asas pada harga yang lebih rendah daripada pasaran.

Ia adalah kesinambungan daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan. JER juga merupakan usaha kerajaan negeri Selangor untuk mendepani masalah kenaikan harga barang.

BACA JUGA Menu Rahmah: Boleh simpan duit hasil jimat beli makanan harian