Menu Rahmah: Boleh simpan duit hasil jimat beli makanan harian

Inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membolehkan orang ramai terutamanya golongan kurang berkemampuan membuat simpanan hasil penjimatan membeli makanan harian.

Seorang penyelia tapak binaan, R. Sharrmah, 27, berkata Menu Rahmah dapat menjimatkan perbelanjaan hariannya sekali gus boleh menggunakan lebihan wangnya untuk perbelanjaan lain.

“Sebelum ini saya membeli lauk tengah hari dalam anggaran dalam RM15 sepinggan tetapi dengan Menu Rahmah saya boleh jimat sehingga RM10.

“Dari situ, saya boleh gunakan baki simpanan untuk kegunaan yang lain,” ujarnya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Bandar Bukit Raja, Klang.

R. SHARRMAH

Rakannya Hadzir Sulaiman, 37, pula berkata pengusaha restoran perlu digalakkan untuk bersama-sama menyediakan Menu Rahmah sebagai langkah membantu rakyat berpendapatan rendah.

“Menu Rahmah ada pada waktu pagi hingga malam. Alhamdulillah ini amat membantu golongan marhaen seperti saya.

“Cuma kalau boleh kita harap lebih banyak kedai makan lain terlibat sama dalam program ini,” ujarnya.

HADZIR SULAIMAN

Sementara itu, seorang jurutera, Mohd Arif Hassan, 30, menyarankan agar kerajaan memberikan subsidi kepada premis makanan yang menyertai inisiatif Menu Rahmah.

“Menu Rahmah sangat membantu rakyat, cuma bagi saya lagi cantik kalau kerajaan beri kelebihan pada pekedai.

“Contohnya beri subsidi bahan mentah kepada peniaga supaya mereka tidak terbeban bagi makanan ini,” katanya.

MOHD ARIF HASSAN

Selasa lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata hampir 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara menyertai inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kementeriannya.

Beliau yang melancarkan inisiatif itu di Mydin Subang Jaya menyatakan, melalui Menu Rahmah, orang ramai boleh menikmati makanan tidak lebih daripada RM5 sepinggan tanpa sebarang had pelanggan.

Inisiatif tersebut dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Menu Rahmah dijayakan selepas KPDN memeterai memorandum persefahaman dengan pelbagai persatuan pengusaha makanan termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia serta persatuan-persatuan peruncit.

BACA JUGA: Menu Rahmah RM5 di 15,000 kedai dilancar KDPN