Najib ke Mahkamah Tinggi sambung bicara kes 1MDB pagi ini

Walaupun sedang menjalani hukuman penjara, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, jam 9 pagi ini bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas perdana menteri itu berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang bakal mencecah usia 70 tahun pada 23 Julai nanti turut menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan jumlah yang sama.

Bagi kes rasuah, mantan Ahli Parlimen Pekan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di bawah pertuduhan kes AMLA, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sekiranya disabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib pada masa ini menjalani hukuman penjara kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.