Perkasa TVET melalui kerjasama swasta dan kerajaan

Kerajaan mengusulkan langkah segera supaya kerjasama strategik dengan pihak swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi menyelesaikan isu ketidaksepadanan pengajian bagi memenuhi kehendak pasaran.

Beliau berkata, kerjasama ini diadakan untuk memastikan pelajar-pelajar TVET dilatih sempurna dan seterusnya mendapat pekerjaan dengan pendapatan munasabah.

“Peruntukan untuk TVET ini mengikut belanjawan tahun lalu (2022) adalah sebanyak RM6.7 bilion yang merangkumi pelbagai kementerian atau agensi. Ada 500 institusi kemahiran latihan awam (IKLA) dengan pelajar sekitar 250,000.

“Jadi saya usulkan supaya ada langkah segera kerana kita ada kajian dan jawatankuasa untuk pastikan anak-anak (pelajar) ini dilatih dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Menurutnya, kerajaan mencadangkan agar pihak syarikat swasta atau GLC untuk melatih, mengurus dan mengguna kepakaran bagi memenuhi keperluan industri berkenaan.

“Sebagai contoh di Pengerang, maka kita akan minta diambil alih oleh Petronas untuk melatih, mengurus, menggunakan kepakaran untuk memenuhi keperluan Petronas.

“Kita ada DRB-HICOM di Pekan, maka bidang automobil dan yang berkaitan itu boleh mengambil alih dan menjalankan (latihan).

“Umpamanya dengan pihak Sunway, dia boleh ambil di Ipoh atau Berjaya untuk bidang perhotelan dan pelancongan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar Ibrahim berkata, satu jawatankuasa Kabinet akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang akan bertindak untuk mengenalpasti syarikat swasta yang boleh membantu TVET, institut latihan dan GIATMARA untuk menyelesaikan masalah berkaitan ‘mismatch’ (tidak sepadan) seperti latihan yang tidak diperlukan oleh industri atau kemudahan yang tidak memuaskan.

“Ini satu keputusan yang besar dan kita minta tindakan diambil segera dan selainnya kita akan jelaskan dalam belanjawan pada 24 Februari ini,” katanya.

BACA JUGA ‘Tempias Menu Rahmah, kedai makan mula turunkan harga’