Beku akaun Bersatu tindakan ‘genuine’ SPRM, bukan arahan parti kerajaan – Wanita PH

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu menegaskan bahawa pembekuan akaun bank Bersatu adalah tindakan ‘genuine’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya atas arahan parti pemerintah.

Beliau berkata, adalah tidak benar jika pembangkang mendakwa tindakan pembekuan akaun sebagai sengaja dilakukan bagi melemahkan dan mewujudkan persepsi terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan ini ‘genuine’ tindakan pihak penguasa, bukannya satu arahan atau keputusan politik parti pemerintah.

“Percubaan tersebut (menuding kerajaan) tidak lain hanyalah satu usaha mengelabui mata rakyat dan orang awam tentang isu sebenar iaitu bagaimana sebuah parti setahun jagung berupaya memiliki kewangan sebesar itu,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily semalam.

Bersatu berdepan tekanan hebat selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun parti itu.

Ia bagi membolehkan siasatan dibuka berhubung salah laku didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan ‘derma’ ke akaun parti lebih RM300 juta.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun menganggap tindakan menuduh Bersatu melakukan penyelewengan adalah tidak betul dan sengaja memberi persepsi bahawa PN mempunyai masalah integriti.

Aiman Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional berkata, forensik kewangan perlu dilaksanakan segera tanpa tertangguh kerana ia melibatkan jumlah yang bukan sedikit malah membabitkan mereka yang pernah menerajui kerajaan.

Beliau memberi peringatan agar Bersatu dan parti sekutu di bawah PN untuk berhenti menyebarkan dakyah kononnya tindakan diambil SPRM adalah tindakan politik.

“Saya menyambut baik tindakan SPRM malah berpandangan tindakan tegas dan pantas lebih wajar diambil lebih awal.

“Lebih baik bersiap memberi penjelasan yang tuntas kepada pihak berkuasa, bukan sebaliknya selindung dengan memainkan sentimen politik dangkal,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

BACA JUGA: Beku akaun Bersatu: Tohmah kerajaan campur tangan tidak bertanggungjawab – PM

                          SPRM sahkan beku dua akaun Bersatu, siasat sumbangan dianggap suapan

Â