Belanjawan 2023: Pertumbuhan ekonomi saksama berpaksikan keadilan sosial

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Belanjawan 2023 dengan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat.

Menerusi kenyataan hari ini, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama bagi tahun ini juga menekankan bahawa pembangunan saksama adalah berpaksikan
keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.

“Langkah ini akan dilaksanakan walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global,” katanya.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Belanjawan 2023 akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.

“Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia MADANI supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat,” jelasnya.

Dalam masa sama, kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara
berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK
terkawal,” dipetik kenyataan itu lagi.

Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.

BACA JUGA Telapak tangan logo Malaysia Madani, jalan ke depan untuk negara