Belanjawan 2023: Syarikat berkaitan kerajaan pacu agenda Malaysia MADANI – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan hujung bulan ini memerlukan kerjasama daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memacu pembaharuan ke arah Malaysia MADANI.

Perdana Menteri berkata GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mempunyai peranan khusus dalam penyokong agenda pembangunan negara terutamanya sebagai pemangkin bagi pertumbuhan sektor baharu.

“Saya tekankan bahawa GLIC dan GLC berperanan dalam menyumbang dan merealisasikan pembangunan Malaysia MADANI.

“Belanjawan 2023 yang akan dibentang hujung bulan ini memerlukan semua pihak berganding bahu dalam memacu pembaharuan ke arah Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pertemuannya dengan GLIC berhubung Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan petang Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata syarikat berkenaan turut perlu menyokong pembangunan modal insan terutamanya pengajian graduan baharu dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

“Selaras dengan elemen mampan dalam pendekatan MADANI, perbincangan merangkumi komitmen GLIC dan GLC untuk meningkatkan kemampanan industri sawit serta memacu tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata pihaknya juga mengarahkan GLIC dan GLC, sebagai majikan dan perniagaan yang bertanggungjawab untuk memastikan penyediaan pekerjaan yang bermaruah dan melaksanakan pembangunan vendor dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Katanya syarikat berkenaan juga perlu menyumbang kepada program kemasyarakatan terutamanya program pembasmian kemiskinan.

“Ini adalah selaras dengan elemen ihsan dalam pendekatan MADANI,” tekannya.

Anwar mempengerusikan mesyuarat bersama ketua GLC dan GLIC di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 2 Februari 2023. Foto FB Anwar Ibrahim