Dakwaan Taman Negeri Selangor diceroboh: ‘Arahan henti tugas sudah dibuat’

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dakwaan pencerobohan hutan di sekitar sempadan Taman Negeri Selangor akhir tahun lalu, sudah pun ditangani.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengenalpasti bahawa kawasan yang kononnya berlaku pembalakan haram merupakan lokasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Namun, jelasnya, arahan henti tugas projek berkenaan telah pun dikeluarkan pada Disember tahun lalu ekoran ketika kerja-kerja dijalankan, permohonan masih belum dibuat.

“Kita telah kenalpasti itu adalah sebahagian daripada projek ECRL.

“Itu memang kawasan yang telah digazetkan untuk laluan mereka cuma kebenaran (permohonan) tidak dibuat pada masa itu.

“Justeru, kita telah hentikan pada Disember,” jelasnya.

Amirudin Shari

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Selangor bersama Penerima Biasiswa Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Negeri Selangor (TPASBB), di Kelab Golf Seri Selangor Petaling Jaya hari ini.

Untuk rekod, selain Selangor, ECRL yang dianggarkan menelan kos mencecah RM50.27 bilion membabitkan jajaran negeri negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Projek mega sepanjang 665 kilometer itu dijangka siap dan beroperasi pada Januari 2027 dengan kemampuan menampung 5.6 juta penumpang setahun.

Pada masa sama, kata Amirudin, gambar yang dipaparkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar berkenaan hutan itu kemungkinan adalah gambar lama atau foto baharu bekas tinggalan tersebut.

Terdahulu, NGO Rimba Disclosure Project (RDP) dalam laporannya mendakwa wujud aktiviti penggondolan yang mencurigakan di empat kawasan di sekitar Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah sekitar akhir tahun lalu, dan awal bulan ini.

Dedah NGO terbabit, dua imej satelit sekitar tempoh tersebut menunjukkan berlakunya penggondolan dan kewujudan trek pembalakan di Hutan Simpan Hulu Gombak.

Amirudin bersama antara penerima biasiswa TPASBB.

Dalam perkembangan lain mengenai program hari ini, Amirudin memaklumkan TPASBB telah memulakan tajaan biasiswa pada 2013.

Sehingga Disember 2022, katanya, sebanyak 561 pelajar merangkumi warga kerja dan anak warga kerja telah menerima manfaat ini.

Sebanyak RM12,893,671.23 telah dibelanjakan untuk pembayaran penajaan tersebut.

Program TPASBB merangkumi tajaan yuran, elaun buku, elaun perkakas, elaun sara hidup dan elaun thesis

Secara purata, setiap pelajar diberikan tajaan sebanyak RM4,900 hingga RM13,550 yang merangkumi tajaan pengajian peringkat Sijil hingga Doktor Falsafah (PHD).

Sebanyak 561 pelajar telah menerima manfaat biasiswa TPASBB.

BACA JUGA Lebih 33,000 kunci Rumah Selangorku berjaya diserah kepada pembeli – MB