Dr Zaliha diberi penghormatan pengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO

Dr Zaliha Mustafa menjadi Menteri Kesihatan Malaysia yang pertama diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sesi ke-152 di Geneva, Switzerland.

Beliau mempengerusikan mesyuarat itu selepas dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat 2023-2024.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kali pertama berlaku dalam sejarah kesihatan negara dan sepanjang 10 tahun penglibatannya bersama WHO.

“Dr Zaliha Mustafa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO sesi ke-152 pada sesi poliomyelitis eradication, polio transition planning, dan polio post-certification,” katanya di Twitter.

“Ini merupakan antara pencapaian utama beliau yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai Menteri Kesihatan.”

Dr Zaliha Mustafa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO ke-152 di Geneva pada 2 Februari 2023. Turut hadir di sebelah beliau ialah Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus

Dr Zaliha bersama delegasi menghadiri mesyuarat itu di Geneva, Switzerland bermula Isnin lepas sehingga Selasa depan. Turut serta Dr Noor Hisham dan para pegawai kementerian.

Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO merupakan mesyuarat berkala dihadiri menteri-menteri kesihatan, ketua-ketua pengarah dah pakar dalam bidang kesihatan.

BACA JUGA: Wad jangka pendek atasi kesesakan jabatan kecemasan