Jabatan Penjara Malaysia laksana ‘Reformasi Penjara’

Jabatan Penjara Malaysia sedang melaksanakan ‘Reformasi Penjara’ yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan dan residivis atau jenayah berulang oleh bekas banduan di seluruh penjara termasuk di Penjara Sungai Buloh.

Menerusi kenyataan hari ini, Jabatan Penjara berkata, usaha tersebut adalah untuk meningkatkan kapasiti dan mengurangkan kesesakan penjara.

Menurutnya, program pemulihan dalam komuniti pada masa ini melibatkan seramai 82,487 banduan dan dengan kadar residivis hanya 0.24 peratus.

“Program pemulihan dalam komuniti tersebut turut melibatkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

“Selain itu, pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara selain bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan lagi perbicaraan,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dijadikan sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit selain mengkaji penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelakkan mereka ditahan di penjara.

Katanya, melalui langkah-langkah tersebut, masalah kesesakan yang dialami oleh Penjara Sungai Buloh telah dapat dikurangkan.

Jabatan Penjara turut memaklumkan, peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4200 banduan, iaitu tambahan 20 peratus daripada kapisiti sedia ada berdasarkan kadar ketetapan antarabangsa.

“Langkah mengurangkan kesesakan tersebut akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi yang akan turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman,” jelasnya lagi.

Â