Jejambat Bandar Saujana Putra jangka siap Disember, selesai masalah trafik – Exco

Masalah kesesakan trafik yang berlaku di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat dijangka selesai hujung tahun ini setelah projek pembinaan jejambat di kawasan itu siap sepenuhnya.

Exco infrastruktur Izham Hashim berkata kerja-kerja pembinaan projek itu telah bersambung semula selepas isu pengalihan utiliti di bawah permukaan jalan raya dan kerjasama antara pihak lebuh raya berjaya diselesaikan.

“Saya amat memahami kesulitan yang dialami oleh para penduduk sekitar yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan setiap hari terutamanya pada waktu puncak.

“Insya-Allah, apabila siap projek dengan peruntukan sebanyak RM60 juta daripada kerajaan negeri ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 penduduk serta pengguna lebuh raya SKVE dan ELITE,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu beliau meninjau perkembangan terkini projek pembinaan jejambat Bandar Saujana Putra yang tergendala sebelum ini.

Hadir sama pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Izham berkata pihaknya akan memantau perkembangan projek tersebut dengan lebih kerap menerusi laporan bulanan daripada pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT).

Pada masa ini kesesakan trafik berlaku terutamanya pada waktu puncak di kawasan bulatan selepas Plaza Tol Bandar Saujana Putra, lebuh raya ELITE.
Izham (depan, kiri) meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan projek jejambat di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 2 Februari 2023. Foto Izham Hashim