Jeti roboh: Laluan selamat untuk murid ke sekolah diteliti

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti laluan alternatif bagi memastikan murid-murid di Kampung Pababag, Semporna, Sabah selamat untuk ke sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa pihaknya tidak akan sesekali berkompromi mengenai soal keselamatan murid mahu pun guru.

”Saya nak tegaskan hari ini adalah isu keselamatan. Saya minta semua pihak termasuk juga media untuk bersama-sama dengan KPM advokasi tentang keselamatan.

”Jaket keselamatan sebenarnya sudah disediakan oleh KPM dan ia mesti digunakan. Advokasi ini juga mesti berlaku dalam kalangan ibu bapa untuk memastikan anak mereka pergi ke sekolah dengan selamat,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian jambatan dan jeti roboh membabitkan murid sekolah terbabit yang dilaporkan roboh pada 30 Januari lalu.

Fadhlina Sidek

Terdahulu, Fadhlina merasmikan Seminar Perdana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) 2023 bertemakan ‘Informasi Berkredibiliti Teras Pemimpin Berwibawa’.

Seminar selama tiga hari yang bermula semalam itu, diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang turut dihadiri Presiden NUTP, Aminuddin Awang.

Pada 30 Januari lalu, tindakan pantas beberapa guru berjaya menyelamatkan lebih 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, Semporna daripada lemas apabila jeti di Kampung Pulau Pababag, runtuh.

Bagaimanapun, dua murid dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan mereka mengalami cedera ringan di bibir dan tangan, akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti yang roboh.

BACA JUGA Sesi sekolah 8 pagi bukan isu utama KPM buat masa ini