Mahkamah pulangkan sementara pasport Ahmad Zahid untuk perjalanan diplomatik
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pasport antarabangsa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipulangkan sementara waktu bagi membolehkan beliau membuat dokumen perjalanan diplomatik untuk tujuan rasmi dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes di Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence membuat ketetapan menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri untuk mahkamah mengembalikan pasport antarabangsanya secara kekal dan secepat mungkin.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memohon bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.
“Undang-undang adalah sama sahaja kepada mana-mana tertuduh yang sedang berhadapan prosiding mahkamah bagi kes sama tidak kira status mereka.
“Dengan ini, mahkamah menolak permohonan tertuduh memohon pasport antarabangsa yang sepatutnya diberikan kepada mahkamah sebagai syarat di pulangkan kembali secara kekal.
“Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pasport tertuduh dipulangkan sementara waktu bagi beliau membuat pasport diplomatik bagi tugasan rasmi ketika ini,” katanya ringkas pagi ini, lapor MalaysiaGazette.
Sebelum ini, Ahmad Zahid telah menyerahkan pasport dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau menghadapi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
Presiden UMNO dipetik sebagai berkata beliau menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan Perdana Menteri dalam beberapa urusan pentadbiran negara.
Ini termasuk menjalankan tugas rasmi di luar negara yang memerlukan beliau mempunyai pasport.
BACA JUGA: Rakyat tidak perlu tunggu 5 tahun untuk lihat perubahan, kata Zahid penuh yakin